TEMERLOH, 10 Okt -- Penyerang KL Felda United Indera Putra Mahayuddin meraikan gol kemenangan ketika menentang Selangor pada perlawanan suku akhir pusing kedua Piala Malaysia di Stadium Temerloh dekat sini, malam ini.KL Felda United layak ke separuh akhir dengan kemenangan agregat 7-3 Selangor.--fotoBERNAMA (2014) HAKCIPTA TERPELIHARA
TEMERLOH, 10 Okt -- Penyerang KL Felda United Indera Putra Mahayuddin meraikan gol kemenangan ketika menentang Selangor pada perlawanan suku akhir pusing kedua Piala Malaysia di Stadium Temerloh dekat sini, malam ini.KL Felda United layak ke separuh akhir dengan kemenangan agregat 7-3 Selangor.--fotoBERNAMA (2014) HAKCIPTA TERPELIHARA

FELDA United Kedah menempah slot ke pusingan separuh akhir Piala Malaysia 2014 hasil keputusan agregat selepas berakhirnya saingan suku akhir kedua malam ini.

Keputusan 3-3 yang dicatat FELDA United ketika berdepan juara 32 kali, Selangor pada aksi suku akhir kedua di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, Pahang, malam tadi, menyaksikan mereka layak dengan kemenangan agregat 7-3.

Skuad ‘The Fighters’ menang selesa 4-0 ke atas Selangor pada aksi suku akhir pertama, di Stadium Shah Alam, pada 3 Oktober lalu.

Pada aksi di Pahang itu, skuad Gergasi Merah meraih gol pembukaan hasil jaringan Paulo Rangel pada minit ke-30 selepas menyambar bola yang gagal ditangkap kemas oleh penjaga gol FELDA United, Mohd Farizal Harun.

Edward Junior Wilson menyamakan kedudukan untuk skuad The Fighters pada minit ke-48 menerusi rembatan kencang namun kegembiraannya tidak bertahan lama apabila Andik Vermansah meledak gol kedua Selangor, empat minit kemudian.

Rangel mencipta gol peribadi keduanya pada minit ke-62 selepas menyudahkan hantaran daripada Andik sebelum Edward merapatkan jurang jaringan, tujuh minit kemudian.

Indra Putra Mahayuddin memusnahkan harapan Selangor untuk meneruskan ‘Misi 33’ dengan gol ketiga pada minit ke-85.

Di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah melakar kemenangan selesa 3-0 ke atas naib juara 2013, Kelantan bagi mengesahkan slot ke separuh akhir dengan keputusan agregat 4-3.

Kelantan menang 3-1 pada aksi suku akhir pertama di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baharu, 3 Oktober lalu.

Pada aksi malam ini, skuad ‘Helang Merah’ berjaya memecahkan kebuntuan menerusi Mohd Hanif Md Dzahir pada minit ke-42 selepas beliau bijak memanfaatkan hantaran daripada Billy Mehmet Osman.

Kedah menggandakan kedudukan menerusi gol kapten pasukan, Baddrol Bakhtiar pada minit ke-52 hasil kelalaian benteng pertahanan lawan.

Kelantan bertambah malang selepas penyerang mereka, Ahmad Fakri Saarani diperintahkan keluar padang pada minit ke-70 oleh pengadil, Samsudin Ibrahim selepas menerima kad kuning kedua.

Muhd Syafiq Ahmad mengesahkan slot separuh akhir untuk skuad Helang Merah kendalian Tan Cheng Hoe pada minit ke-88 selepas menerima hantaran Adam Griffith.

Terdahulu, Stadium Darul Aman bergelap kira-kira 15 minit sebelum perlawanan bermula ekoran masalah lampu limpah.

Dua lagi perlawanan suku akhir membabitkan PDRM dan Pahang di Stadium Shah Alam, esok.

Satu lagi perlawanan menyaksikan Johor DT dan Terengganu di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, pada 16 Oktober ini. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Oktober 2014 @ 12:15 AM