ANGGOTA Bomba cuba memadamkan suar yang dibaling kedalam kawasan padang.
ANGGOTA Bomba cuba memadamkan suar yang dibaling kedalam kawasan padang.
Oleh Mohd Firdaus Hashim


Temerloh: Naib juara Liga Perdana dan Piala FA musim ini, FELDA United berada pada landasan tepat untuk sekali lagi mara ke pentas final dengan kali ini saingan Piala Malaysia menjadi idaman, selepas anak buah Irfan Bakti mudah melepasi halangan suku akhir kedua apabila membenam bekas juara 32 kali Selangor dengan agregat 7-3 selepas terikat 3-3.

Menurut Irfan yang juga bekas pembimbing skuad The Red Giants musim lalu berkata, kesemua pemainnya beraksi mengikut arahan dan taktikal yang diberi sepanjang 90 minit aksi permainan, malah beliau turut memuji sikap tidak berputus asa biarpun pada suatu ketika pasukannya ketinggalan dua gol.

"Dari awal kami sudah menjangkakan Selangor akan menyerang habis-habisan ke kubu kami. Pemain saya berhak meraih kemenangan pada malam ini (kelmarin) berdasarkan komitmen tinggi yang ditunjukkan pemain.

"Bukan mudah untuk menewaskan Selangor. Walaupun kami ketinggalan dua kali, tetapi pemain menunjukkan karektor sebenar untuk keluar selaku pemenang dan saya puji semangat juang pemain-pemain saya," katanya ketika ditemui selepas tamat aksi suku akhir kedua di Stadium Mini Temerloh, kelmarin.

Buat kem Selangor pula, keputusan seri itu sedikit sebanyak menjawab kepada aksi hambar ketika tewas 0-4 pada suku akhir pertama di Stadium Shah Alam, minggu lalu.

Jelas pengendalinya Mehmet Durakovic, pemainnya kurang bernasib biarpun menguasai permainan sejak dari wisel permulaan ditiupkan dengan Paulo Rangel dan Muhammad Afiq Azmi banyak mensia-siakan peluang terhidang.

"Malam ini merupakan persembahan sebenar kami. Pemain sudah memberikan yang terbaik dalam perlawanan ini. Kami berjaya mendahului tuan rumah sebanyak dua kali, namun selepas saya mengeluarkan Andik (Andik Vermansyah) yang mengalami sedikit kecederaan, tempoh pasukan mulai perlahan.

"Akhirnya kami dihukum oleh tuan rumah yang bangkit mendapatkan gol. Jelas, nasib tidak menyebelahi kami untuk melangkah ke fasa berikutnya," katanya.

Sementara itu, aksi suku akhir kedua itu sedikit tercemar apabila kumpulan penyokong Ultras Selangor bertindak di luar jangkaan dengan membakar suar dan membaling bom asap ke arah trek stadium selepas FELDA memperolehi jaringan penyamaan pada minit ke-85 yang dijaringkan oleh penyerang gantian Indra Putra Mahayuddin.

Difahamkan, insiden yang ditimbulkan oleh para penyokong Ultras sebagai tanda protes di atas prestasi hambar Selangor susulan kekalahan besar minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Oktober 2014 @ 1:37 AM