PEMAIN Felda United meraikan kejayaan menewaskan PKNP di Stadium Shah Alam, malam tadi. - Foto OSMAN ADNAN
PEMAIN Felda United meraikan kejayaan menewaskan PKNP di Stadium Shah Alam, malam tadi. - Foto OSMAN ADNAN
BERNAMA

KETUA jurulatih FELDA United, B Sathianathan memuji aksi cemerlang skuad The Fighters ketika membenam wakil Liga Perdana, PKNP FC 4-1 pada suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Beliau berkata, anak didiknya memberikan komitmen terbaik di tengah padang kerana sedar hanya kemenangan selesa menjamin tempat ke separuh akhir pertandingan itu.

“Pemain sedar mereka hadir ke Stadium Shah Alam dengan satu misi untuk menang dan berjaya melakukannya dengan penuh komitmen,” katanya malam tadi.

Kemenangan itu menyaksikan FELDA United mara ke separuh akhir dengan kemenangan agregat 5-4 walaupun tewas 1-3 pada suku akhir pertama di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka pada 15 September lalu.

Sathianathan pada masa sama berkata, pasukannya boleh menambah lebih banyak jaringan pada perlawanan itu namun jentera serangan banyak mensia-siakan peluang terhidang di depan pintu gol lawan.

Dalam pada itu, pengendali PKNP FC, Abu Bakar Fadzim mengakui pemainnya bermain di bawah kemampuan sebenar selain banyak melakukan kesilapan mudah yang dilakukan barisan pertahanan dalam tempoh 10 minit terakhir babak pertama.

“Mungkin pemain berasa sedikit selesa selepas menang di Jengka dan mendahului seawal minit kelapan sebelum tewas, jadi ia tidak sepatutnya berlaku terutamanya jika berdepan dengan pasukan yang serba berpengalaman seperti FELDA United,” ujarnya.

Abu Bakar memaklumkan pasukan kendaliannya akan memberi tumpuan dalam dua baki perlawanan Liga Perdana bagi memburu tiket beraksi dalam saingan Liga Super musim depan.

Pada aksi di Shah Alam, PKNP FC mendahului menerusi jaringan pemain import dari Korea Selatan, Kim Hyeon Woo seawal minit kelapan sebelum FELDA United bangkit meraih tiga gol dalam tempoh 10 minit, masing-masing menerusi Wan Zack Haikal Wan Nor pada minit ke-35 dan 44 serta gol pemain import dari Nigeria, Ifedayo Omosuyi pada minit ke-37.

Zah Rahan Krangar kemudiannya mengesahkan kemaraan skuad The Fighters ke separuh akhir menerusi gol keempat pada minit ke-47.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2017 @ 3:21 PM