PEMAIN Kelantan (jersi merah) tetap waspada walaupun miliki kelebihan dua gol. FOTO/LUQMAN HAKIM ZUBIR
PEMAIN Kelantan (jersi merah) tetap waspada walaupun miliki kelebihan dua gol. FOTO/LUQMAN HAKIM ZUBIR
Haika Khazi


KELANTAN tetap berwaspada kebangkitan Kuala Lumpur pada aksi separuh akhir kedua Piala Emas Raja-Raja di Stadium Sultan Muhammad IV, Sabtu ini.

Kapten Kelantan, Tuan Mohd Norhisan Tuan Mahmood menjelaskan pasukannya tidak boleh mengambil mudah keupayaan Kuala Lumpur biarpun The Red Warriors (TRW) memiliki bekalan selesa hasil kemenangan 2-0 pada aksi pertama di Stadium Universiti Putra Malaya (UPM), Serdang, minggu lalu.

“Belum boleh kata kami selesa lagi. Cuma kelebihan dua gol itu memang ada selain kami akan bermain di gelanggang sendiri.

“Saya akui ada faktor tuah ketika kami menang separuh akhir pertama itu, tetapi aksi kali ini pasti berbeza kerana Kuala Lumpur akan turut bekerja lebih keras,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam pada itu, Norhisan menegaskan dia dan rakan sepasukan akan turun dengan misi meraih kemenangan bagi membalas dendam terhadap Kuala Lumpur yang menyekat kemaraan TRW di peringkat suku akhir dalam kejohanan sama tahun lalu.

Pemain tengah berasal dari Bachok itu berkata semua pemain perlu bermain sepenuh hati bagi mencerahkan peluang Kelantan muncul juara bagi edisi kali ini.

“Kali terakhir kami juara Piala Emas Raja-raja pada 2010, jadi tentu peluang untuk kembali menikmatinya kali ini tidak akan disia-siakan.

“Saya kurang berpuas hati dengan persembahan kami minggu lalu. Mungkin kerana kurang biasa bermain waktu petang, di tengah panas terik.

“Kami juga lewat menyesuaikan diri kerana sejak peringkat Kumpulan D (di Stadium USM, Pulau Pinang) kami bermain waktu malam sehingga suku akhir di Kota Bharu dan Jengka (menentang Felda United),” katanya.

Jadual separuh akhir kedua Piala Emas Raja-Raja:

Sabtu

Kelantan mln Kuala Lumpur (agregat 2:0)

Stadium Sultan Muhammad IV, 8.45 mlm

Pulau Pinang mln Selangor (agregat 0:0)

Stadium USM, Pulau Pinang, 8.45 mlm

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2017 @ 10:24 PM