ZIMI, Aremeer, Shah, Fairuz dan Wan masih kekal bergabung di bawah nama Sofazr.
ZIMI, Aremeer, Shah, Fairuz dan Wan masih kekal bergabung di bawah nama Sofazr.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Pengalaman lebih 10 tahun dalam industri muzik ternyata mematangkan Aremeer (vokalis), Shah (gitar utama), Wan (dram), Fairuz (bass), Zimi (gitar kedua) dan Rodie (keyboard) yang bergabung di bawah nama Sofazr.

Meskipun bersaing hebat dengan kemunculan artis baru serta pasaran album yang tidak menentu, Sofazr yang popular dengan lagu Dan Bila Esok tetap kental meneruskan cabaran sebagai anak seni.

Tampil kali terakhir menerusi album 1 Dekad terbitan KRU Music Sdn Bhd tahun lalu, Sofazr kini kembali lagi dengan single terbaru berjudul Peristiwa terbitan Rusa Music.

Selari dengan pengalaman mereka dalam seni, single ini menampilkan kelainan yang sama sekali tidak dijangka peminat mereka.

Aremeer berkata, selain anggota Sofazr sendiri, lagu ini turut menampilkan penyanyi Asfan yang popular dengan lagu Maafkan Aku dan rapper popular, RJ.

"Lagu ini ada kelainannya kerana menampilkan gabungan mantap vokal antara saya dan Asfan serta sentuhan rap daripada RJ. Gandingan ini memberikan sesuatu yang segar untuk industri muzik kita.

"Lagu Peristiwa adalah ciptaan Zimi manakala lirik juga hasil tulisannya bersama RJ. Jika peminat masih ingat, lagu yang popular daripada album 1 Dekad ialah Hanya Diriku dan Tak Berhujung Pagi.

"Kami ditawarkan kontrak oleh KRU selepas menyanyikan lagu Pencinta Terbaik yang menjadi runut bunyi untuk filem Cinta Kura-Kura. Tak dinafikan 'airplay' lagu Hanya Diriku dan Tak Berhujung Pagi di semua stesen radio sangat baik.

"Begitu juga aspek pembikinannya yang sangat berkualiti. Bagaimanapun, semua pihak kena akur keadaan pasaran yang kurang bagus sekarang, sekali gus menyaksikan kami tiada jodoh untuk kekal lama dengan KRU Music.

"Mungkin rezeki kami ada di 'rumah baru' dan harapan kami semua agar kelainan yang dibawa dalam Peristiwa dapat diterima baik oleh semua pihak," katanya.

Menurutnya, idea untuk menghasilkan Peristiwa tercetus apabila Zimi berbual dengan RJ dan kedua-duanya adalah peminat penyanyi terkenal Barat, Mike Shinoda.

"Daripada perbualan inilah terhasilnya lagu yang sangat menarik dan berbeza konsepnya. Ia nampak agak urban tapi masih kekalkan imej Sofazr. Lagu ini juga sudah mula dimainkan di semua stesen radio seluruh negara dan kami lega dengan sambutan yang diberikan pendengar.

"Ramai yang menyangka anggota Sofazr sudah bawa haluan sendiri tapi sebenarnya kami masih bersama. Kami masih banyak terima tawaran buat show di seluruh negara. Hanya apabila tiada show, kami masing-masing buat kerja sendiri.

"Wan bekerja dalam penghasilan laman web. Zimi aktif buat lagu manakala Rodie kini bekerja di Sabah dan hanya terbabit dengan Sofazr jika perlu. Saya sendiri aktif dalam lakonan tapi buat masa ini kena tumpukan perhatian pada promosi single terbaru terlebih dahulu," katanya.

Bercerita mengenai penghasilan lagu Peristiwa pula, Zimi berkata, ia tercetus selepas menyaksikan kisah benar seorang warga tua di Rumah Sri Kenangan, Cheras.

"Ia mengenai kisah benar seorang pak cik di situ selama dua tahun berturut-turut, dia menanti anaknya untuk menjemputnya dari rumah itu.

"Setiap hari dari jam 10 pagi hingga ke petang, dia akan mengangkat beg bajunya dan menanti anaknya di hadapan pintu rumah itu tanpa menghiraukan makan pagi dan tengah hari serta hanya akan kembali ke biliknya untuk minum petang apabila waktu melawat habis.

"Ia membuatkan hati saya sebagai seorang anak terusik dan kerana perasaan yang mendalam inilah terhasilnya bait lirik untuk lagu Peristiwa," katanya yang turut aktif mencipta lagu untuk artis lain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 November 2014 @ 5:00 AM