SOFAZR kembali hangatkan industri muzik negara. FOTO/ZUNNUR AL SHAFIQ
SOFAZR kembali hangatkan industri muzik negara. FOTO/ZUNNUR AL SHAFIQ
Ramlah Zainal


KUMPULAN Sofazr yang ditubuhkan pada 2003 dan cukup dikenali dengan genre muzik ‘freepop’ pernah mencuri perhatian peminat di persada seni tanah air satu ketika dulu.

Antara rangkaian lagu hit Sofazr yang pernah meniti di bibir peminat ialah Janjiku, Dan Bila Esok, Cintai Aku, Kepantasanku dan Hilang.

Namun, nama Sofazr seakan-akan tenggelam dan dilupakan selepas album terakhir, 1 Dekad pada 2013.

Sekian lama menyepi, Sofazr kembali dengan mempertaruhkan single berjudul Takkan Mungkin sekali gus mengubat kerinduan peminat.

Menurut jurucakap dan anggota kumpulan Sofazr, Zarimi Zahari atau Zimi, mereka sangat berharap single terbaru itu akan mengembalikan semula nama band itu di hati pencinta muzik tempatan.

“Sesuai dengan peningkatan usia yang kian matang dan pengalaman, kami bersedia kembali merancakkan industri muzik.

“Kami juga percaya Sofazr masih relevan untuk mewarnai persada seni ketika ini,” katanya.

Zimi ditemui pada majlis pelancaran single terbaru kumpulan Sofazr, Takkan Mungkin yang berlangsung di Red Box, Garden Mall, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mengenai single Takkan Mungkin, kata Zimi, ia hasil ciptaan One S B, Syah dan Fairuz (Sofazr) dan liriknya oleh One sendiri.

“Lagu ini sudah diperam lama sejak 2010.

“Ia menceritakan kisah seseorang yang kecewa kerana pasangannya tidak jujur dan mula hilang kepercayaan sedikit demi sedikit.

“Menariknya, lagu ini berdasarkan pengalaman anggota kami sendiri dan rakan sekeliling.

“Selain pengikut setia Sofazr, kami berharap single ini dapat menarik perhatian peminat baru,” katanya.

Showcase istimewa

Perkembangan lain, Sofazr akan mengadakan showcase di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur pada 25 November ini.

Showcase ini turut menampilkan artis undangan iaitu Treehill dan Amir Masdi.

Menurut vokalis Sofazr, Ameer, mereka juga menjanjikan yang terbaik buat peminat kumpulan itu sekali gus mengimbau perjalanan muzik mereka selama 15 tahun.

“Kami akan menghiburkan peminat dengan 15 rangkaian lagu popular daripada tujuh bingkisan album terdahulu bermula jam 3 petang.

“Jika showcase ini berjaya, kami merancang mengadakan konsert jelajah pula di beberapa lokasi serata tanah air untuk mendekati peminat,” katanya.

Selain Zimi, Sofazr dianggotai Wan Shahbaharin Niktah atau Syah (gitaris ) Wan Shah Baharom Niktah atau One (dram), Ahmad Fairouz Mohammad atau Fairuz (bass), Amir Mahiyiddin atau Ameer (vokalis) dan Rodie Jamun atau Rodie (keyboard).

Sebelum ini, Sofazr sudah menghasilkan enam album studio antaranya Janjiku (2006), Dan Bila Esok (2010), 1 Dekad (2013) serta album kompilasi The Best Of Sofazr (2009).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 November 2018 @ 6:29 AM