ASFAN bakal muncul dengan album sulung tahun ini anggap kontroversi ditumbuk adik ipar sebagai pergaduhan manja.
ASFAN bakal muncul dengan album sulung tahun ini anggap kontroversi ditumbuk adik ipar sebagai pergaduhan manja.
Oleh Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my


Lembaran 2015 yang baharu berlalu, meninggalkan kenangan pahit buat penyanyi dan komposer Asfan Shah, 32, apabila terkait kontroversi ditumbuk adik ipar yang juga pelakon Bil Azali.

Sikap Asfan yang masih berlagak seperti orang bujang dengan mengabaikan isteri dan anak dikatakan punca dirinya makan penumbuk adik ipar dalam kejadian di Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA pada September tahun lalu.

Bagi penyanyi yang popular dengan lagu Alasan Untuk Bahagia dan Terhenti Di Sini, semuanya sudah berlalu dan tiada apa yang perlu dikenangkan lagi.

Asfan atau Noasfan Shah Shah Rudin berkata, apa yang pernah berlaku antara dia dan adik iparnya itu dianggap sebagai pergaduhan manja yang terjadi dalam hubungan kekeluargaan.

Katanya, hingga kini dia tidak mahu ambil serius mengenai perkara itu termasuk bercadang membawanya ke mahkamah untuk tindakan undang-undang.

“Dalam hal ini, siapa yang betul dan akan menang bukan persoalannya. Lagipun, bagi saya wang bukanlah perkara utama sebaliknya ikatan kekeluargaan.

“Meskipun ada pihak yang meminta saya mengambil tindakan undang-undang, pada saya ia bukan jalan penyelesaian terbaik,” katanya.

Menurut Asfan, industri hiburan di negara ini pun bukanlah besar mana. Pusing-pusing, pasti akan bertemu juga. Kata­nya, sejak dulu lagi dia dan adik iparnya itu jarang berjumpa. Kalau bertemu pun hanya dalam majlis kenduri keluarga.

“Hubungan ka­mi memang tak rapat dan kalau bertemu pun kurang berborak. Apatah lagi selepas insiden itu, kami tidak pernah berjumpa kerana saya dan keluarga menetap di Subang Jaya manakala dia tinggal bersama keluarga mentua di Serendah, Selangor,” katanya.

Bernikah dengan Ain Sakinah Razali pada Ogos 2012, mereka dikurniakan dua anak lelaki, Ali Haytham Shah, 2, dan Ali Wakeel Shah, sembilan bulan.

Apabila berhadapan kontroversi itu, Asfan akui memilih untuk menghadapinya dengan lapang dada dan bukannya melarikan diri daripada wartawan.

Katanya, lari daripada media tidak wajar dan dia bercerita juga bukan berniat mahu mencari publisiti murahan. Sebagai selebriti, Asfan berpendapat berterus terang lebih baik untuk tidak menimbulkan pelbagai spekulasi.

“Perkara itu memang benar berlaku kepada saya. Jadi, apabila wartawan hubungi untuk dapatkan kepastian saya rasa tiada salahnya mengaku.

“Apa yang pasti, insiden pergaduhan itu tidak sedikit pun menggugat nama saya kerana tetap mendapat tawaran membuat persembahan,” katanya.

Asfan yang menceburi bidang muzik sejak 10 tahun lalu, gembira apabila karyanya semakin diterima. Mula dikenali menerusi lagu Terhenti Di Sini yang juga menjadi runut bunyi drama Nora Elena pada 2011, Asfan kemudian muncul dengan single Maafkan Aku.

Lagu Alasan Untuk Bahagia mengukuhkan lagi nama Asfan sebagai antara penyanyi baru yang makin mendapat tempat. Bagaimanapun, Asfan pernah rasa kecewa apabila masyarakat lebih kenal lagunya berbanding penyanyinya.

Dia juga pernah menyertai uji bakat Akademi Fantasia 2013 (AF 2013) tetapi gagal, namun dia tidak kesal. Katanya, selepas gagal menyertai AF 2013, dengan sokongan padu diberikan isteri dia tidak patah samangat untuk terus berusaha.

“Selama setahun saya cuba menulis lagu. Hasilnya, Alasan Untuk Bahagia diterima baik peminat. Dari situ, karier seni saya mula diterima.

“Tahun lalu, meskipun terpalit dengan sedikit cerita sensasi, karya muzik saya tidak terjejas kerana peminat sudah mula terima dan mempercayainya.

“Kini, bagi 2016 semestinya saya menyimpan impian untuk memantapkan karier seni termasuk membantu membuka peluang kepada bakat baru,” katanya.

Dia yang mahu kekal lama dalam industri seni, cuba sedaya-upaya membantu bakat baru dari segi nyanyian termasuk membimbing mereka dalam penciptaan lagu.

Asfan juga bekerjasama dengan artis lain untuk rakaman lagu ciptaannya seperti Arja Lee dan Haiza manakala kumpulan Qanda mula diterima peminat melalui lagu Cinta Yang Sempurna.

Kini popular dengan lagu Semua Tentang Kita, Asfan dijangka muncul dengan album sulungnya tahun ini. Mengakui mengambil masa agak lama untuk tampil dengan album, Asfan mengtakan dia tidak suka bersikap terburu-buru dalam penghasilan album.

Katanya, peminat sanggup mengeluarkan duit untuk mendapatkan album seseorang penyanyi, jadi seharusnya dia perlu memastikan kualiti terbaik dan berbaloi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 January 2016 @ 5:02 AM