Kumpulan Sofazr. FOTO ZUNNUR AL SHAFIQ
Kumpulan Sofazr. FOTO ZUNNUR AL SHAFIQ
Ramlah Zainal


“KAMI pernah mengalami kejutan budaya dan lupa diri ketika nama di puncak populariti dulu.

“Sebab itu kami tidak buat persediaan untuk bersaing dengan banyak band baru yang muncul sehingga nama Sofazr tenggelam dan dilupakan peminat,”kata jurucakap dan anggota kumpulan Sofazr, Zarimi Zahari atau Zimi ketika mengulas kenapa mereka mengambil masa lama untuk kembali dalam bidang muzik tanah air.

Menurut Zimi, kumpulan yang popular dengan lagu Janjiku, Cintai Aku itu juga leka dengan populariti yang dikecapi ketika zaman kegemilangan dulu.

“Pada pandangan kami, peminat akan beri sokongan pada Sofaz sampai bila-bila pun sedangkan muzik juga berkembang mengikut perkembangan semasa dan citarasa peminat juga berubah.

“Kami tidak menyalahkan sesiapa atas apa yang berlaku cuma terkilan dengan tindakan tidak matang kami dulu,” katanya.

Zimi ditemui pada majlis pelancaran single terbaru kumpulan Sofazr, Takkan Mungkin yang berlangsung di Red Box, Garden Mall, Kuala Lumpur, hari ini.

Selain Zimi, Sofazr dianggotai Wan Shahbaharin Niktah (gitaris pertama, Wan Shah Baharom Niktah (One drum), Ahmad Fairouz Mohammad (bass), Amir Mahiyiddin (vokalis) dan Rodie Jamun (keyboard).

Mengulas single terbaru Takkan Mungkin, kata Zimi, mereka berharap ia akan mengembalikan semula nama Sofazr di hati peminat.

“Jika dulu kami sering bertengkar dan pernah mahu membubarkan kumpulan ini.

“Kini kami sudah matang sesuai dengan peningkatan usia serta mahu mengembalikan semula nama Sofazr dalam bidang muzik.

“Pada masa sama, kami juga percaya Sofazr masih relevan untuk terus bersaing dalam bidang muzik tanah air,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 November 2018 @ 9:26 PM