MADAM yakin dengan genre rock yang dibawa mereka.
MADAM yakin dengan genre rock yang dibawa mereka.
Sudirman Mohd Tahir


KEMUNCULAN band Madam iaitu akronim daripada Men of Another Day Another Music yang mempertaruhkan muzik rock menghidupkan lagi genre itu.

Madam yang dianggotai Putera (vokalis), Azuan (pemain bass), Herman (pemain dram) dan Fadhil (pemain gitar) percaya muzik rock yang mungkin sukar diterima masyarakat moden ketika ini akan tetap bernyawa.

Buktinya, menerusi single Musnah ciptaan komposer Amy Bong dan Zimi Sofazr itu, ia bukan sahaja menjadi siulan ramai pendengar, bahkan sudah mencatatkan jumlah tontonan YouTube hampir 70,000 dalam tempoh dua bulan.

Fadhil berkata, mereka tidak perlu segan membawakan genre rock biarpun ada beranggapan genre muzik itu sudah tidak relevan pada masa kini.

"Saya percaya rock mempunyai nilai besar terhadap seni muzik itu sendiri. Kalau bukan kita yang menyuntik unsur rock kapak yang terkenal dengan budaya orang Malaysia, siapa lagi?

"Dalam pada itu, kita perlu sentiasa melahirkan pembaharuan untuk memikat pendengar. Zaman sekarang ada pelbagai platform media sosial.

"Macam kumpulan rock asal Itali,MÃ¥neskin, siapa sangka lagu yang mereka rakamkan semula Beggin' boleh menjadi antara lagu popular dunia. Sekarang ini, satu dunia kenal

MÃ¥neskin bukan hanya di Itali. Kalau tiada TikTok, saya tak rasa impak lagu itu sebesar sekarang," katanya.

Menurut Azuan, single Musnah adalah kerjasama antara Rocketfuel Entertainment dengan JOOX, sebuah aplikasi penstriman atas talian yang popular. Kerjasama itu terbukti berjaya apabila lagu berkenaan memperoleh jumlah penstriman yang tinggi.

"Kami tidak menjangkakan mampu mendapat maklum balas sebegini pada mulanya. Namun, dengan kepercayaan yang diberikan oleh Feros (Ketua Rocketfuel Entertainment) kami beranikan diri mencuba nasib dan alhamdulillah tidak sia-sia," katanya.

Walaupun Madam mula diperkenalkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), itu sedikitpun tidak mematahkan semangat mereka dalam menghasilkan karya yang bermutu.

Pandemik Covid-19 yang melanda dunia dan negara ketika ini bukan alasan bagi mereka untuk berdiam diri dan terus merebut peluang yang diberikan dalam dunia serba digital sekarang.

Pada masa sama, Herman berkata, tidak dapat dinafikan, ramai yang mengenali Madam sebagai sebuah band rock, tetapi banyak cabang muzik lain yang ingin diterokai mereka.

"Bermacam genre lain yang ingin kami cuba dan belum diterokai. Namun, dalam masa sama masih mengekalkan elemen rock. Jangan lupa untuk menantikan karya terbaharu yang bermutu daripada kami tidak lama lagi.

"Kami berharap peminat muzik terus memberikan sokongan padu dalam usaha Madam memartabatkan muzik Malaysia ke persada Asia Tenggara dan Insya-Allah ke mata dunia," katanya.

Sementara itu, Putera menyifatkan apa dicapai Madam ketika ini adalah satu prestasi terbaik daripada sebuah band yang baharu saja ditubuhkan.

"Kami sangat bersyukur dengan sambutan luar biasa yang diberikan rakyat Malaysia terhadap Madam. Segala kerja keras kami berempat selama ini akhirnya membuahkan hasil apabila band kami mula mendapat tempat di hati penggemar muzik tempatan," katanya.

Bukan itu saja, single pertama mereka berjudul Luka yang dilancarkan pada Julai tahun lalu juga menjadi titik permulaan kejayaan apabila menjangkau semua ekspektasi dengan memperoleh tontonan sebanyak lima juta di saluran YouTube.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Ogos 2021 @ 6:15 AM