Madam (dari kiri), Herman (dram), Padel (gitar), Putera (penyanyi) dan Azuan (bass).
Madam (dari kiri), Herman (dram), Padel (gitar), Putera (penyanyi) dan Azuan (bass).
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Kumpulan Madam mengakui antara tarikan utama kumpulan mereka adalah kekuatan penyanyinya iaitu Putera.

Mewakili kumpulan itu, pemain dramnya, Herman berkata, mereka banyak mendapat maklum balas dan komen yang memuji kehebatan vokal Putera.

Ia sekali gus menjadikan single Musnah yang dilancarkan sejak lima bulan lalu mendapat penstriman tertinggi di aplikasi muzik Joox selain hangat diperkatakan peminat muzik tanah air.

"Lagu ini adalah projek kerjasama antara Rocketfuel Entertainment dengan JOOX, sebuah aplikasi penstriman dalam talian yang popular. Kerjasama ini terbukti berjaya apabila lagu ini memperoleh jumlah penstriman yang tinggi.

"Tidak menjangka pula lagu Musnah ini kembali diperkatakan. Bagi kami mungkin lagu dan muzik yang dibawakan Madam kena dengan selera pendengar. Dalam masa sama, kebanyakan komen dan maklum balas diterima adalah mereka suka dengan suara penyanyi kami.

"Jadi, kami berasa beruntung juga kerana Putera menjadi penyanyi. Pendek kata dalam Madam ada faktor X dari segi vokal," katanya.

Madam yang ditemui pada sidang media secara virtual berkata, keserasian yang wujud antara tiga pemuzik dan penyanyi membawa kepada magis yang dibawa sejak setahun lalu.

"Saya, Padel dan Azuan memang sudah berkawan lama. Malah, sebelum ini kami selalu mengiringi persembahan penyanyi di bawah Rocketfuel. Kebetulan mereka nak wujudkan band baharu dan kami ditawarkan untuk bergabung menjadi satu kumpulan.

"Sejujurnya kami tak pernah tahu secara mendalam siapa Putera. Apabila berjumpa kali pertama dan kami 'jamming' bersama, dari situ sudah ada keserasian. Kiranya dia pelengkap kami. Sebelum ini ada juga kerja dengan orang lain, tapi dengan Putera lebih serasi," katanya.

Madam adalah akronim daripada Men of Another Day Another Music yang mempertaruhkan muzik rock.

Lagu Musnah yang juga single keempat mereka adalah ciptaan Amy Bong dan Zimi Sofazr.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Julai 2021 @ 3:50 PM