PERSEMBAHAN bertenaga Akim & The Majistret menyampaikan 15 lagu.
PERSEMBAHAN bertenaga Akim & The Majistret menyampaikan 15 lagu.
Oleh Abd Rahman Adam

Konsert Patriot Akim & The Majistret Yeo’s I Love Malaysia malam kelmarin, meninggalkan kenangan terindah buat kumpulan itu apabila hampir 10,000 peminat di Sarawak hadir menyaksikan konsert itu.

Berlangsung di Padang Merdeka, Kuching, ia adalah lokasi kelima siri jelajah Konsert Patriot Akim & The Majistret Yeo’s I Love Malaysia anjuran Yeo Hiap Seng (Malaysia) Berhad (Yeo’s) dengan kerjasama Harian Metro sempena ulang tahun kemerdekaan negara ke-58.

Konsert bermula jam 8.15 malam dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Tanggal 31 secara beramai-ramai oleh Akim & The Majistret bersama artis jemputan, Kumpulan Precious, Alinda dan The Family Man bersama pengacara DJ Fuzz dan Aaron Pereira.

Alinda mula mengambil tempat di pentas dengan menyanyikan lagu Tamil Soi Soi, medley Tamil dan Aaja Nachle yang mula menghangatkan suasana sehingga mendapat sorakan gemuruh daripada peminat.

Tidak lama kemudian, The Family Man terus menggamatkan suasana. Kumpulan berasal dari Bumi Kenyalang itu menyampaikan tiga lagu, ‘Tok Boknya’, District 13 dan Petra Jaya membuktikan kehadiran mereka dalam industri muzik tempatan kini diterima peminat.

Mengakhiri slot artis jemputan, kumpulan Precious terus memeriahkan suasana menyanyikan dua lagu secara medley iaitu I got A Boy, Uptown Funk, lagu Mandarin digabungkan bersama lagu Setia serta lagu Inggeris, Just Ask Me.

Cuaca yang baik, namun sedikit berjerebu tidak menghalang penonton untuk terus setia menanti kehadiran Akim & The Majistret yang hanya membuat persembahan pada jam 9.30 malam.

Terharu dengan sokongan peminat dari Bumi Kenyalang itu yang tidak berganjak daripada tempat duduk masing-masing, Akim & The Majistret menyanyikan lebih 15 lagu termasuk lagu daripada album sulung berjudul Patriot sebagai ‘hadiah’ menghargai sokongan peminat.

Telatah band yang dianggotai tujuh jejaka, Akim, Zimi dan Fairuz daripada Sofazr, Wan dan Gjie (Sixth Sense), Freddy (Hyperact) dan Afiez (Kristal dan New Boyz) yang bersahaja mampu mencuit hati peminat selain menyanyikan lagu yang diminta untuk tidak menghampakan peminat.

Band itu memulakan persembahan dengan lagu Patriot diikuti Terlalu Mudah selain beberapa lagu popular lain termasuk Obses, Sisaku, Potret dan Quicksand selain menyanyikan lagu medley daripada kumpulan yang disertai anggota band Akim & The Majistret seperti Hyper Act, Sofaz, Sixth Sense dan New Boyz.

Malah, Akim & The Majistret turut menyampaikan beberapa lagu popular lama era 60-an serta irama dangdut bagi tidak menghampakan permintaan peminat sekali gus menghargai sokongan diberikan.

Tidak ketinggalan kumpulan itu turut menyanyikan lagu teman kempen Yeo’s Jinggle Song sebelum mengakhiri persembahan dengan hit lagu Mewangi yang turut dinyanyikan bersama peminat.

Menurut Akim, sambutan diberikan peminat di Sarawak luar biasa berbanding empat konsert sebelum ini, sekali gus membuatkan mereka bertekad memberi persembahan terbaik.

“Persembahan konsert kali ini adalah ‘detik terindah’ bagi saya sepanjang bergelar artis sekali gus mengimbau kembali ketika kali pertama membuat persembahan bersama artis lain enam tahun lalu di negeri ini.

“Sangat bersyukur kerana kerja keras kami membuat persediaan selama sebulan sebelum siri jelajah konsert ini, berbaloi apatah lagi apabila melihat kehadiran peminat hampir 10,000 membanjiri Padang Merdeka,” katanya.

Justeru katanya, dia tidak sabar menanti kehadiran Disember apabila Akim & The Majistret akan bertandang semula ke Sarawak menjayakan konsert ‘Era Sayang Sarawak’ bersama artis lain.

Perkara sama turut diakui Zimi yang memaklumkan sentiasa teruja untuk membuat persembahan sekali gus mempromosi nama dan lagu Akim & The Majistret terutama kepada peminat di Sarawak.

“Kewujudan Akim & The Majistret diterima baik peminat di sini. Saya berharap sokongan berterusan daripada peminat menjadi suntikan untuk kami kekal dalam persada muzik tanah air,” katanya.

Zimi juga memaklumkan Akim & The Majistret turut diundang mengadakan persembahan di Anugerah Planet Muzik (APM) di Singapura, Oktober depan selain turut tercalon dalam empat kategori di anugerah berkenaan.

Dalam pada itu, kumpulan The Family Man yang dianggotai Mc Wayne, OG (Big Daddy) dan Farhan Noxious berterima kasih kepada Harian Metro yang sudi mengundang mereka untuk membuat persembahan pada konsert itu.

OG berkata, peluang membuat persembahan bersama Akim & The Majistret serta artis undangan lain tidak sesekali dipersiakan. Mereka juga dapat mendekati peminat dan mempromosikan nama serta lagu kumpulan di negeri kelahiran mereka sendiri.

“Single terbaru selepas lagu Rintihan bersama Bob tahun lalu, ‘Sikda Papa’ bersama seorang artis wanita Iban Lucyn yang menjadi single kedua baru sahaja dilancarkan minggu lalu, namun sudah diterima baik peminat.

“Jadual kami agak padat apabila sudah mula menerima banyak undangan mengadakan persembahan, malah turut terbabit menjayakan konsert Sehati Sejiwa di RTM Kuching, Sarawak dan di Kuala Lumpur sempena bulan kemerdekaan Ogos lalu,” katanya kini bernaung di bawah syarikat FMC di Kuala Lumpur.

Persembahan malam itu diakhiri dengan nyanyian Tanggal 31 sebelum Akim & The Majistret membuat cabutan bertuah yang melayakkan penonton bernasib baik membawa pulang hadiah utama televisyen 50 inci dan telefon pintar jenama Samsung.

Sebelum mengakhiri konsert itu, Akim & The Majistret meluangkan masa hampir sejam untuk bertemu peminat yang membeli album mereka selain sesi autograf dan mengambil gambar kenangan.

Tidak ketinggalan apabila Akim mengajak peminat ke lokasi konsert seterusnya di Alor Setar, Kedah Sabtu ini yang menjadi destinasi akhir siri jelajah konsert itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2015 @ 5:01 AM