Nak tergelak pula SS apabila mendengar cerita seorang pelakon yang tak pandai bawa diri ketika menjayakan sebuah penggambaran di kediaman mewah.

Kebetulan pemilik kediaman itu rakan SS. Meskipun kaya raya, pasangan suami isteri itu sangat merendah diri.

Si isteri pandai memasak dan selalu mengajak SS ke kediamannya untuk menjamah air tangannya.

Kata kawan SS itu, dia tekejut dengan sikap pelakon terbabit. Sebelum ini, dia ingatkan pelakon itu peramah dan mesra orangnya. Yelah, dalam temu bual di kaca TV, bukan main riuh lagi mulutnya bercakap itu ini. Rupa-rupanya itu hanya depan kamera.

Cerita kawan SS lagi, sepanjang penggambaran di rumahnya, pelakon itu langsung tak bertegur sapa, malah mukanya asyik masam mencuka.

Kawan SS itu bukan jenis minat sangat dengan artis, tetapi apa salahnya maniskan muka dan berbasa-basi. Tak rugi pun jika berbaik dengan orang sekeliling.

Itulah sifat manusia, apabila sudah berjaya ramai asyik mendongak ke langit dan tidak lagi memandang rumput di bumi.

SS rasa jika artis itu ramah dengan tuan rumah sudah tentu dia dipelawa menikmati masakan yang enak. SS memang tabik dengan air tangannya, lebih-lebih lagi rendang Babu, gulai lemak labu udang dan sup tulangnya. Sekali merasa pasti jadi igauan.

SS: Suka dengan artis yang ikut resmi padi, makin berisi makin menunduk.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2015 @ 9:16 AM