SS menyampah betul dengan artis yang jenis berangan ini sedangkan dirinya tidak sehebat mana pun. Baru setahun dua berada dalam industri sudah pandai nak jeling-jeling orang. Apa hal?

Itulah perangai artis ini yang baru-baru ini berlakon dalam sebuah drama bersiri. Sikapnya sangat menjelekkan apabila dia berlagak depan pelakon lain seolah-olah dialah primadona. Adalah beberapa lagi pelakon remaja yang berlakon sama dalam filem itu dan dia yang dikira agak senior daripada mereka sepatutnya menunjukkan contoh teladan yang bagus.

Ini tidak, dia pula yang terlebih mengada-ngada. Selama ini, tiada produk lakonan dia yang benar-benar meletup. Orang ingat nama dia pun kerana kontroversi yang melandanya. SS pun tak berapa ingat dia pernah berlakon drama apa.

Menurut cerita yang disampaikan kepada SS, dia datang ke lokasi mengikut kesesuaian masanya saja tanpa mengira perasaan pelakon lain. Tidak cukup setakat itu, dia juga buat perangai jika ada perkara yang dia tidak puas hati sehingga membuatkan pelakon lain rasa tidak selesa.

Hai! Beringatlah sebelum nama anda disimpan dalam lipatan sejarah. Pelakon lama pun tidak berangan macam awak malah mereka mengamalkan resmi padi - makin berisi makin tunduk.

SS: Suka temu bual artis yang bijak dan pandai membawa diri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2015 @ 10:52 AM