Denver: Hakim yang akan membicarakan kes serangan berdarah di sebuah panggung wayang di Colorado, semalam mengarahkan pihak berkenaan mengumpulkan antara 6,000 hingga 9,000 calon juri untuk disaring.

Ia saringan terbesar pernah dilakukan dalam sejarah perundangan Amerika Syarikat.

Hakim Carlos Samour berkata, lebih mudah mengumpulkan juri yang ramai terlebih awal untuk dipilih berbanding menetapkan had tertentu dan berdepan kemungkinan berlaku kekurangan.

Katanya, pemilihan juri itu bermula pada 20 Januari tahun depan dan ia mungkin mengambil masa sehingga berbulan-bulan untuk disempurnakan.

“Pendakwa akan diminta memberi keterangan awal pada perbicaraan sebenar awal Jun tahun depan,” katanya.

James Eagan Holmes mengaku tidak bersalah dan mendakwa tidak siuman apabila menembak mati 12 orang ketika tayangan filem Batman di Aurora, 20 Julai 2012.

Holmes berdepan 166 tuduhan cuba membunuh dan 70 tuduhan menyebabkan kecederaan.

Status mental Holmes ketika serangan akan menjadi tumpuan utama dalam perbicaraan itu nanti. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 November 2014 @ 5:04 AM