SIDNEY Holmes menangis sebaik mahkamah membuat keputusan untuk membebaskannya. FOTO South Florida Sun-Sentinel / TNS
SIDNEY Holmes menangis sebaik mahkamah membuat keputusan untuk membebaskannya. FOTO South Florida Sun-Sentinel / TNS
Agensi

Washington: Lelaki yang sudah menjalani hukuman 30 tahun daripada keseluruhan hukuman 400 tahun penjara, dibebaskan selepas didapati berlaku kesilapan semasa pengecaman.

Dia pada mulanya dijatuhi hukuman penjara atas kesalahan rompakan bersenjata.

The Guardian melaporkan, Sidney Holmes, 57, dibebaskan dari penjara di Fort Lauderdale, Florida, selepas kerajaan negeri memutuskan untuk menyiasat semula rompakan bersenjata berlaku pada 1988, di mana Holmes dituduh sebagai berperanan sebagai pemandu untuk membantu penjenayah melarikan diri.

Holmes ditangkap pada 6 Oktober 1988 dan kemudian disabitkan kesalahan berikutan perbicaraan juri pada 1989 mendapati dia berkhidmat sebagai pemandu untuk dua lelaki tidak dikenali yang merompak seorang lelaki dan wanita dengan mengacu senjata di luar kedai.

Kedua-dua lelaki itu turut mencuri kereta mangsa lelaki, menurut peguam negara Broward, Harold Pryor.

Holmes mengekalkan pengakuan tidak bersalahnya dan menghubungi Unit Semakan Sabitan (CRU) peguam negeri pada November 2020.

"Pihak pendakwa dengan CRU menentukan Holmes mempunyai dakwaan yang munasabah untuk tidak mengaku bersalah kerana pengenalan saksi yang tidak pasti menjadi bukti utama dalam perbicaraan," kata Pryor.

Penyiasatan semula oleh CRU mendapati, pengenalpastian saksi mata terhadap Holmes mungkin pengenalan yang salah disebabkan oleh gambar dan amalan proses pengecaman biasa digunakan oleh penguatkuasa undang-undang ketika itu yang disifatkan oleh Pryor sebagai tidak boleh dipercayai secara saintifik.

Tiada bukti kukuh yang mengaitkan Holmes dengan perompak itu selain daripada pengenalan yang salah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mac 2023 @ 2:30 PM