JONELLE Matthews. FOTO Agensi
JONELLE Matthews. FOTO Agensi
Reuters

DENVER: Mayat manusia ditemui oleh kru penggalian di tapak minyak dan gas di Colorado minggu ini adalah budak perempuan berusia 12 tahun yang hilang sejak tiga dekad lalu, tetapi punca kehilangannya itu masih belum diketahui, kata polis semalam.

Jonelle Matthews hilang pada Disember 1984 selepas dia diturunkan berdekatan rumahnya di Greeley, Colorado, kira-kira 80 kilometer utara Denver, selepas menyertai persembahan nyanyian sempena sambutan Krismas di sekolah bersama rakan sekelas.

Selasa petang lalu, seorang kru penggalian yang bekerja dalam bahagian saluran paip di pinggir bandar Weld County menemui tulang manusia, kata Jabatan Polis Greeley dalam satu kenyataan.

“Berdasarkan bukti di tempat kejadian dan pemeriksaan koroner mengenal pasti mayat itu sebagai Jonelle Matthews.”

Polis tidak memberitahu punca dan bagaimana kanak-kanak itu meninggal dunia serta butiran lanjut mengenainya tetapi siasatan ke atas mayat Jonelle ‘masih aktif.’

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Julai 2019 @ 3:45 PM