IMEJ dari rakaman stesen penyiaran CBS menunjukkan insiden berkenaan.
IMEJ dari rakaman stesen penyiaran CBS menunjukkan insiden berkenaan.
BERNAMA

Denver: Seorang pemandu treler dijatuhi hukuman penjara 110 tahun pada Isnin kerana menyebabkan kematian dalam nahas jalan raya di Colorado pada 2019.

Rogel Aguilera-Mederos didapati bersalah pada Oktober atas lebih 20 pertuduhan, termasuk menyebabkan kematian dan cuai ketika memandu sehingga menyebabkan nahas ngeri itu.

Aguilera-Mederos memberitahu penyiasat brek trak itu terputus dan tidak dapat berbuat apa-apa untuk mengelak kejadian berkenaan daripada berlaku.

Nahas itu berlaku di Interstate 70, Lakewood, Colorado, di barat Denver, lapor United Press International (UPI).

KCNC-TV di Denver melaporkan, menerusi rakaman video kemalangan menunjukkan Aguilera-Mederos boleh menggunakan laluan treler untuk mengelak melanggar kenderaan lain, tetapi tidak melakukannya.

Treler dipandunya merempuh kenderaan yang sedang berhenti, menyebabkan kebakaran besar dan membunuh empat orang – Doyle Harrison, William Bailey, Miguel Angel Lamas Arellano dan Stanley Politano.

Hakim A Bruce Jones berkata, di bawah undang-undang negeri, dia perlu menjatuhkan hukuman bagi setiap kesalahan dan atas faktor itu hakim mengenakan hukuman minimum bagi setiap pertuduhan.

Aguilera-Mederos memohon pengampunan sebelum hukuman dijatuhkan dan meminta maaf kepada keluarga mangsa kerana ia adalah kemalangan dan bukan disengajakan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Disember 2021 @ 2:26 PM