Agensi

Bangkok: Suspek utama dalam merancang pengeboman di bandar raya ini bulan lalu dikesan kali terakhir menerusi penerbangan pelbagai hala ke Turki, kata polis Thai, semalam.

Sehingga ini masih belum ada pihak mengaku bertanggungjawab terhadap pengeboman di kuil Hindu Erawan yang meragut 20 nyawa, 14 daripadanya warga asing.

Lelaki yang didakwa pihak berkuasa Thai memainkan peranan utama dalam serangan bom itu melarikan diri ke Bangladesh dengan menggunakan pasport China sehari sebelum kejadian.

Dua minggu kemudian dia dikesan singgah di New Delhi dan Abu Dhabi dalam perjalanan ke Istanbul, kata polis.

Waran tangkap sudahpun dikeluarkan terhadap lelaki yang menggunakan nama Abu Dustar Abdulrahman atau Izan dan diedarkan menerusi Interpol.

“Kami mempunyai bukti yang diberikan kedutaan Bangladesh bahawa Izan berlepas ke Abu Dhabi dan kemudian ke Turki,” kata jurucakap polis Prawut Thawornsiri.

Menurutnya, kedutaan Turki di Bangkok sudahpun dimaklumkan dengan perkembangan terbaru itu.

Polis Thai sebelum ini mengesyaki suspek pengebom, lelaki berbaju kuning yang dirakam oleh kamera keselamatan meninggalkan bag galas berisi bom itu mungkin melarikan diri ke Malaysia.

Mereka dikritik kerana masih belum berjaya menentukan motif serangan selepas siasatan masuk minggu keempat.

Siasatan itu semakin rancak selepas seorang daripada lelaki yang ditahan polis Thai, Yusufu Mieraili mengaku menyerahkan beg galas berisi bom itu kepada seorang lelaki sebelum letupan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2015 @ 5:04 AM