KEHIDUPAN seharian di Bangkok kembali seperti biasa selepas serangan bom minggu lalu.
KEHIDUPAN seharian di Bangkok kembali seperti biasa selepas serangan bom minggu lalu.
Agensi

Bangkok: Polis Thai semalam berkata, mereka memeriksa rekod rakyat Turki yang tiba di negara itu beberapa hari sebelum serangan bom di pusat bandar raya ini yang menyebabkan 20 orang terbunuh.

Polis dan beberapa penganalisis keselamatan membangkitkan kemungkinan etnik Uighur - masyarakat Islam keturunan Turki yang mendiami wilayah barat jauh China dan menjadi mangsa penindasan Beijing terbabit dalam serangan itu.

Layanan kejam China terhadap etnik itu menjadi isu penting bagi kebanyakan rakyat Turki yang melihat diri mereka berkongsi latar belakang budaya dan agama.

Pihak berkuasa Thai mengusir 100 etnik Uighur dari negara itu ke China bulan lalu, tindakan yang mencetuskan kecaman besar-besaran kumpulan hak asasi manusia dan tunjuk perasaan ganas di luar pejabat konsul Thai di Istanbul.

Jurucakap polis Thai Prawut Thavornsiri memberitahu wartawan, pihaknya melakukan pemeriksaan terhadap rakyat Turki yang memasuki negara itu sepanjang dua minggu sebelum serangan.

Dia bagaimanapun berkata, siasatan yang dilakukan tidak tertumpu pada kerakyatan atau individu.

Bukti utama serangan di kuil Erawan yang popular itu hanya rakaman kamera keselamatan.

Ia menunjukkan seorang lelaki berbaju kuning dan berambut hitam meletakkan beg galas selepas memasuki kuil berkenaan dan berlalu dari kawasan itu sebelum letupan.

Dua belas daripada 20 yang terbunuh warga asing.

Penganalisis keselamatan dari IHS-Jane’s yang berpusat di Bangkok Anthony Davis berkata, ada tiga kumpulan yang mempunyai motif dan keupayaan melakukan serangan seumpama itu.

Kumpulan itu termasuk anggota Grey Wolves, pertubuhan berhaluan kanan di Turki.

Menurutnya, motif mereka mungkin untuk membalas dendam terhadap tindakan Thai mengusir etnik Uighur ke China.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Ogos 2015 @ 8:16 AM