Bangkok: Satu keluarga yang disyaki masyarakat Islam Uighur menjadi tumpuan rebutan diplomatik antara China dan Turki dengan kedua-duanya meminta keluarga itu dihantar pulang ke negara masing-masing.

Keluarga seramai 17 orang itu ditahan polis Thai pada Mac tahun lalu selepas memasuki negara itu secara haram dari Kemboja.

Sejak itu, keluarga berkenaan yang mengguna nama Teklimakan ditahan di pusat tahanan imigresen di Bangkok.

Mereka mendakwa warga Turki dan Kedutaan Turki sudahpun mengeluarkan pasport dan membenarkan mereka berlepas ke negara itu.

Bagaimanapun, China mendakwa 17 tahanan terbabit etnik Uighur dari wilayah Xinjiang dan mahu mereka dipulangkan ke negara berkenaan.

Ratusan etnik Islam Uighur terbunuh dalam kekacauan di wilayah berkenaan sejak dua tahun lalu dengan kebanyakannya ditembak mati oleh polis dan tentera China.

Tindakan China menindas etnik berkenaan menyebabkan ratusan dan mungkin ribuan dalam kalangan mereka berlepas ke Turki menerusi Asia Tenggara.

Semalam, keadaan agak tegang berlaku di Mahkamah Jenayah Selatan Bangkok, tempat kes 17 disyaki etnik Uighur itu dibicarakan.

Wakil kedutaan Turki dan China hadir di mahkamah itu, tetapi duduk jauh berjauhan.

Mahkamah akan mengumumkan keputusannya Jumaat ini.

Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Thai Anusit Kunakorn berkata, baik China mahupun Turki meminta negara itu membantu menghantar tahanan ke negara masing-masing. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2015 @ 8:19 AM