Kuala Lumpur: “Tanggungjawab ini cukup besar, tapi saya akan cuba sedaya-upaya.”

Demikian kenyataan Tan Sri Dr (Ir) Mohamed Al Amin Abdul Majid (gambar) yang mengaku terkejut apabila dilantik sebagai ketua kontinjen negara pada temasya Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro seperti diumumkan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar, kelmarin.

Bagi Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu, beliau masih belum memikirkan sebarang perancangan yang bakal dilakukannya menjelang temasya itu, tetapi akan segera mendapatkan segala maklumat dalam tempoh terdekat.

“Sudah tentu saya akan mengadakan perbincangan dengan persatuan yang berkenaan dalam usaha melakar segala strategi serta sasaran yang ingin ditetapkan,” katanya.

Ditanya mengenai prospek skuad badminton negara terutamanya pemain perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei yang sering disandarkan untuk meraih pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik, Al Amin berpendapat segala-galanya perlu dilakukan secara berperingkat.

“Chong Wei perlu layak dulu untuk ke Olimpik. Selebihnya, perkara ini perlu dibincangkan bersama jurulatih serta (Pengarah Teknikal) Morten Frost Hansen.

“Saya akui badminton memang banyak menyumbang pingat untuk Sukan Olimpik. Tetapi ketika ini, terlalu awal bagi saya meletakkan sasaran tertentu untuk mereka serta sukan yang lain,” katanya.

Selain Al Amin, Pengarah Bahagian Sukan, Kementerian Pendidikan, Datuk Marina Chin bakal mengetuai barisan atlet untuk temasya Sukan SEA 2017 yang menyaksikan Malaysia bergelar tuan rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 September 2015 @ 5:06 AM