CHONG Wei. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
CHONG Wei. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Datuk Seri Jalani Sidek

Bahang Sukan Olimpik Tokyo 2020 nampaknya sudah mula terasa apabila ada cakap-cakap mengenai peluang pemain negara untuk layak ke temasya sukan terbesar dunia itu.

Jika bercerita mengenai badminton, siapa lagi yang menjadi tumpuan kalau tidak Datuk Lee Chong Wei.

Ada yang menjangkakan sukar untuk Chong Wei atau mana-mana pemain negara meraih emas pertama Olimpik. Sekarang ini jangan terlalu jauh bercerita mengenai emas sebab hendak layak ke Olimpik pun nampaknya sukar untuk Chong Wei.

Bukan merendah-rendahkan kemampuannya, namun Chong Wei sendiri mengakui perkara itu. Bagi saya, tiada apa lagi perlu dicapai oleh Chong Wei.

Jika tidak layak pun dia sendiri mengakui tidak kecewa kerana sudah empat kali beraksi di Olimpik. Jadi daripada kita memberi tumpuan kepada pemain veteran negara itu, adalah lebih baik untuk memberi sokongan juga kepada seorang lagi pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia.

Mengambil kira prestasi semasanya sebelum ini, saya lihat peluang Zii Jia untuk layak ke Olimpik adalah tidak mustahil. Walaupun hakikatnya cukup sukar, tetapi ‘laluan’ sudah pun terbentang di depannya dan selaku pemain, Jii Zia wajar mengejar peluang itu.

Dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dilihat begitu komited untuk membantunya pada kempen kelayakan, saya fikir Zii Jia perlu memberikan segala-galanya. Saya akui dia masih lagi bukan pemain yang sempurna.

Tetapi, harus diingat Zii Jia juga masih belum menjadi sasaran pemain ternama lain. Bermakna corak permainannya belum sepenuhnya berada di dalam ‘poket’ lawan. Mengambil kira situasi itu, boleh dikatakan peluang Zii Jia untuk menyinar pada kempen kelayakan cukup cerah.

Saya mungkin kecewa jika dia tidak layak ke Olimpik. Tetapi, pada masa sama saya juga berasa gembira dengan pencapaian cemerlang yang cukup drastik dipamerkan oleh pemain muda ini.

Adakah Chong Wei atau Zii Jia yang akan layak ke Olimpik? Sama-sama kita nantikan. Jumpa lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Februari 2019 @ 8:07 AM