Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Morten Frost Hansen (gambar) tidak sangsi mengenai kemampuan Datuk Lee Chong Wei walaupun bekas pemain nombor satu dunia itu sekali lagi tersingkir awal, kali ini di Terbuka India kelmarin.

Menurutnya, beliau sentiasa yakin Chong Wei mampu bangkit semula terutama dalam membantu skuad Piala Thomas dan paling penting, Sukan Olimpik Rio 2016.

“Ramai pemain lain tidak mempamerkan prestasi konsisten, sama seperti Lin Dan, Chen Long (China), Kento Momota (Jepun) dan Jan O Jorgensen (Denmark).

“Semua orang berasa sukar untuk mengekalkan prestasi terbaik kerana paling penting tahun ini adalah Olimpik,” katanya ketika ditemui media di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.

Jelasnya, tahun ini pemain tidak memberi tumpuan kepada kejohanan seperti Seluruh England dan bertaraf Siri Super.

“Semuanya mengenai di Rio. Siapa yang mempunyai keyakinan diri tinggi akan muncul juara. Saya perlu mengadakan perbincangan dengan jurulatih, Hendrawan untuk melihat bahagian mana harus diperbaiki.

“Dia boleh bangkit, saya tidak risau. Masa untuk membalas kekalahan ke atas Wei Nan adalah di pusingan pertama Terbuka Malaysia minggu depan,” katanya mengulas kekalahan Chong Wei kepada pemain Hong Kong itu di pusingan kedua Terbuka India kelmarin.

Chong Wei tumpas 19-21, 19-21 buat kali kedua berturut-turut kepada Wei Nan selepas Terbuka Denmark tahun lalu.

“Perkara paling penting ialah berjumpa dengan Hendrawan apabila mereka pulang nanti dan saya akan memberi idea serta menyentuh beberapa aspek untuk diperbaiki. Dalam masa sama Wei Nan juga beraksi cemerlang serta merebut peluang terhidang.

“Chong Wei juga akan kekal sebagai pemain terbaik dunia menjelang Olimpik. Sekarang kita lihat bagaimana dia beraksi di Terbuka Malaysia pula ketika semua pemain bersaing untuk mencari mata ke Olimpik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 April 2016 @ 5:07 AM