KAGUM dengan pengarah Shuhaimi Baba.
KAGUM dengan pengarah Shuhaimi Baba.
Oleh Ramlah Zainal

Watak Panjang dalam drama bersiri Juvana yang bersiaran di TV3 secara tidak langsung turut memperkenalkan nama pendatang baru Idzham Ismail di persada hiburan tanah air.

Selepas drama itu, model yang terjun ke bidang lakonan ini tidak ingin menoleh ke belakang lagi.

Bersandarkan bakat dan minat mendalam, nama Idzham semakin meraih perhatian ramai ketika ini.

“Saya mula menceburi bidang lakonan pada 2012 dan drama pertama dilakonkan ialah Juvana. Saya ditawarkan watak Panjang selepas menghadiri uji bakat di Filmscape dan saya percaya ia kerana tuah ketinggian dimiliki berbanding pelakon lain.

“Tidak dapat dinafikan, watak Panjang turut memberikan impak pada lakonan dan peminat juga mengenali saya menerusi watak itu,” katanya.

Namun, Idzham mengakui dia tidak berasa dirinya popular berbanding rakan seperjuangan lain dalam Juvana seperti Syazwan Zulkifli dan Johan Asa’ri.

“Maklumlah, saya masih lagi bertatih dalam bidang lakonan. Saya juga berusaha untuk mendapat kepercayaan pihak stesen televisyen dan penerbit drama dengan menghantar profil serta menghadiri pelbagai uji bakat sebelum ini.

“Berkat kerja keras, nama saya semakin dikenali selepas berlakon dalam drama bersiri 3 Janji arahan Heykal Hanafiah dan filem pertama lakonan iaitu Juvana. Selepas itu, saya dapat lebih banyak tawaran berlakon hinggalah sekarang,” katanya.

Idzham berkata, dia menyedari persaingan sengit dengan bakat baru yang mewarnai bidang seni tanah air ketika ini.

“Saya sedar diri tidak sekacak pelakon popular sedia ada. Namun, saya percaya paras rupa tidak menjamin segalanya tanpa disertai bakat dan kerja keras. Saya juga pastikan sentiasa menjaga penampilan dan stamina serta bersaing secara positif dalam industri seni,” katanya.

Sebagai pelakon baru, Idzham berkata, dia memang tidak pernah puas dengan prestasi lakonan sedia ada.

“Saya juga sentiasa meningkatkan prestasi lakonan dari semasa ke semasa dan berharap dapat watak yang memberi impak kepada penonton. Antaranya dengan berlakon projek teater atau terbabit dalam program seperti Liga Lawak Superstar musim pertama,” katanya yang meminati lakonan aktor hebat seperti Tom Hardy, Johnny Depp dan Robert De Niro.

Misi menjadi pelakon dihormati

Sering ditawarkan watak baik, Idzham masih menanti watak yang boleh mencabar lakonan sedia ada.

Baginya, sudah sampai masanya dia melakonkan watak berat dan memberi impak pada lakonan.

“Saya juga mahu melakonkan watak pembunuh psiko. Sebagai pelakon baru, saya banyak berguru dengan pelakon dan pengarah yang lebih senior seperti Datuk Rosyam Nor, Bront Palarae, Zahiril Adzim, Amie Maziah, Heykal Hanifah dan Zul Huzaimy.

“Dalam misi menjadi pelakon yang dihormati pada masa depan, saya juga teringin bekerja dengan pengarah handalan seperti Datin Paduka Shuhaimi Baba, Bernard Chauly dan Osman Ali,” katanya.

Selain berlakon, Idzham yang bernaung di bawah pengurusan Rubber Tapper juga mengembangkan bakatnya dalam dunia teater yang juga cabang seni diminatinya.

Terbaru, dia baru selesai projek teater arahan Amar Asyraf berjudul Hexa X Unus selepas Banduan Terhormat.

“Watak kali ini tidak begitu berat di mana saya yang membuka cerita dan dengan dua babak itu, saya sendiri kena fikir bagaimana untuk mencuri tumpuan penonton. Ia berbeza dengan Banduan Terhormat di mana saya dan dua lagi pelakon membawa cerita dari awal hingga ke penghujungnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2015 @ 9:03 AM