GEMBIRA drama Dia Semanis Honey melangkah ke pentas teater.
GEMBIRA drama Dia Semanis Honey melangkah ke pentas teater.
Norhayati Nordin


Bakat Ziha Salleh, 22, nampaknya lebih menyerlah sebagai pelakon. Bakat dicungkil dari program Akademi Fantasia 2014 (AF2014) itu mula berlakon melalui drama Dee tetapi namanya melonjak menerusi drama Dia Semanis Honey.

Hingga kini makin bertambah drama dibintanginya dan nyata Ziha selesa bekerjasama dengan pengarah dan penerbit Michael Ang.

Memegang watak Ara dalam drama adaptasi novel Dia Semanis Honey, Ziha juga menjayakan projek khas drama itu sempena Aidifitri tahun lalu.

Bagaimanapun apabila kisah ini dibawa ke pentas Istana Budaya melalui pementasan Dia Semanis Honey Muzikal, watak Ara ‘dimatikan’ hingga Ziha tidak disenaraikan antara pelakon untuk pementasan yang bermula 3 Januari lalu.

Ziha tidak berkecil hati, sebaliknya bangga kerana drama itu berjaya melangkah jauh dari televisyen ke pentas teater.

“Saya menerimanya dengan hati terbuka apabila pihak produksi memberitahu watak Ara perlu dimatikan.

“Bagi saya, tak apalah tak dapat turut sama dalam pementasan Dia Semanis Honey Muzikal kerana tiada rezeki. Saya memandang positif perkara ini kerana walaupun tidak berlakon teater, saya masih menerima tawaran drama.

“Syukur, tidak lama lagi dua drama lakonan saya yang juga masih lagi adaptasi novel akan disiarkan Astro,” katanya.

Kata Ziha, tiada sebab dia mahu berasa kecil hati hanya disebabkan tidak dapat mempersembahkan lakonannya di pentas teater.

“Saya pun masih baharu dalam bidang lakonan. Bagi saya, pentas teater itu terlalu besar untuk saya yang masih perlukan masa untuk belajar dan memperbaiki mutu lakonan dipersembahkan.

“Pengalaman pun masih sedikit. Jadi, buat masa sekarang lebih baik jika saya memberi tumpuan kepada berlakon drama dan berusaha mendapatkan peluang melakonkan watak berbeza.

“Setakat ini pun kebanyakan watak saya agak ringan dan belum mencabar kemampuan diri sendiri,” katanya.

Anak bongsu dalam keluarga yang berasal dari Johor ini tidak terfikir mahu bersikap cerewet dan memilih watak.

Ujarnya, tak kisahlah sering disogok berlakon watak yang sama kerana sebagai pelakon dia harus lebih kreatif.

“Apa yang penting saya selesa dengan watak yang dilakonkan. Pada saya, tiada salahnya pun kalau asyik berlakon watak pembantu.

“Saya mula dengan kosong sebagai pelakon. Namun saya kuatkan hati dan beranikan diri mencuba baiki setiap kekurangan,” katanya.

Sudah berkahwin dengan lelaki pilihannya, Zarul Hafis Zarak Kamal, 30, pada awal Oktober tahun lalu, Ziha juga bersyukur kerana suami sangat memahami minatnya.

Pasangan sejoli itu juga berbulan madu ke Eropah pada November tahun lalu dan kedatangan 2017 diharap menjadi tahun yang indah.

“Bukan hanya dalam perjalanan rumah tangga saya tetapi perkembangan karier seni iaitu bidang lakonan dan nyanyian.

“Meskipun aktif berlakon, minat pada nyanyian tak pernah pudar. Saya harap bakat nyanyian pula akan menyerlah tahun ini,” katanya.

Yakin dengan perancangan Yang Maha Esa, Ziha berkata, dia sentiasa percaya kalau sudah rezeki pasti tak ke mana.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 January 2017 @ 5:04 AM