AZAR Azmi. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
AZAR Azmi. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Ramlah Zainal

BAKATNYA mula digilap menerusi pertandingan Dewi Remaja 2009/10 yang turut menobatkan pengacara terkenal Neelofa sebagai juara ketika itu.

Walaupun tidak menang dalam program pencarian bakat itu, pelakon berbakat besar Azar Azmi terus mengintai peluang untuk bertapak di persada hiburan tanah air.

Malah, wajahnya juga pernah menghiasi pelbagai drama dan telefilem dengan memegang watak utama serta pembantu seperti Mr Boss Miss Stalker, Suri Hati Mr Pilot, Gerak Khas, Red Velvet, Isteri Untuk Diiktiraf dan Pujaan Hati Kanda.

Nama Azar terus meniti di bibir peminat berikutan keberkesanan lakonannya sebagai pelacur bernama Juita dalam drama bersiri popular Nur 2 arahan Shahrulezad Mohameddin yang bersiaran TV3 sebelum ini.

Pemilik nama sebenar Siti Azar Ameerah Azmi, 30, itu bersyukur kerana ramai mula buka mata dengan bakatnya selepas membintangi Nur 2.

“Maklumlah, saya bermula dari bawah dan pernah jadi pelakon tambahan dengan bayaran serendah RM50 dan RM100.

“Saya akui nama lambat naik berbanding rakan seperjuangan seperti Izara Aisyah dan Anzalna.

“Namun, berkat kerja keras akhirnya rezeki berpihak kepada saya menerusi watak hitam Juita dalam drama bersiri Nur 2 yang turut menaikkan nama dalam bidang lakonan,” katanya.

Selepas drama bersiri Nur 2, kata Azar, tawaran kerja datang bersilih ganti.

“Alhamdulillah, banyak pihak mula nampak bakat saya. Selepas Nur 2, saya ditawarkan menjadi sebahagian daripada filem Nur 2 yang dijangka memulakan penggambaran tahun depan.

“Selain itu, saya terbabit dengan drama bersiri panjang sebanyak 60 episod untuk saluran Astro dan teater Melayu - Pawana Isabella arahan Erma Fatima.

“Saya juga terpaksa menolak tawaran berlakon drama lain kerana mahu fokus dua projek ini terlebih dahulu,” katanya.

AZAR Azmi. FOTO Khairul Azhar Ahmad
AZAR Azmi. FOTO Khairul Azhar Ahmad

Tidak takut dibenci penonton

Selepas cemerlang dengan watak Juita, Azar sekali lagi ditawarkan watak gelap dalam teater Melayu - Pawana Isabella.

“Kali ini, saya melakonkan watak berat iaitu Permaisuri Tishaku yang zalim. Saya berasa gementar kerana ini pengalaman pertama berlakon teater.

“Watak permaisuri ini berbeza dengan watak jahat yang pernah saya lakonkan. Apa yang mencabar, saya perlu hafal dialog membabitkan 30 babak dalam teater ini,” katanya.

Ditanya mengenai persediaan pula, kata Azar, dia merujuk filem Hollywood, Maleficient untuk menjayakan watak berkenaan.

“Saya terpaksa mendidik diri untuk menjadi jahat seperti Maleficient. Ia seolah-olah tempias kepada diri untuk bawa roh permaisuri itu ke dalam jiwa.

“Saya tidak takut dibenci penonton kerana watak permaisuri Tishaku sekadar lakonan dan terpulang pada penilaian penonton nanti,” katanya.

Teater Pawana Isabella bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya dari 21 hingga 31 Ogos ini.

Ia turut dijayakan Janna Nick, Syafiq Kyle, Datuk Afdlin Shauki, Datuk Ziela Jalil, Datin Paduka Umie Aida dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 6:31 AM