AISHAH Azman
AISHAH Azman
Ramlah Zainal

Selepas setahun berlakon, nama Aishah Azman, 21, semakin mencuri perhatian peminat.

Terbaru, lakonannya dalam drama bersiri 20 episod berjudul Cinta Hati Batu yang bersiaran di Slot Lestary TV3 ketika ini turut memberi impak pada penonton.

Dalam drama bersiri arahan Amor Rizan itu, Aishah bergandingan dengan Ashraf Muslim dan Fadlan Hazim selaku teraju utama.

Aishah yang juga adik kepada pelakon Afiq Muiz berkata, wataknya sebagai Anith Fitriah sangat berat dan banyak berendam air mata.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana lakonan dalam drama itu mendapat sambutan penonton.

“Setakat ini, drama ini ditayangkan tujuh episod dan saya juga mendapat banyak maklum balas positif daripada netizen,” katanya.

Bercerita dari segi cabaran pula, Aishah berkata, banyak babak yang mencabar lakonannya sebagai pelakon baru.

“Watak saya perlu banyak menangis dan bermain dengan emosi,” katanya.

Walaupun drama itu mendapat sambutan, Aishah masih tidak berpuas hati dengan prestasi lakonannya.

“Sebagai pelakon baru tiada istilah puas dengan tahap lakonan kerana masih dalam proses pembelajaran lagi,” katanya.

Impi watak pesakit autisme

Pembabitan Aishah dalam bidang lakonan juga bersandarkan bakat dan bukan paras rupa semata-mata.

Menurut Aishah, dia juga tidak mahu namanya dikenali dengan kontroversi.

“Saya mahu dikenali kerana bakat yang dipertaruhkan. Jika nama berada dalam kelompok popular itu adalah bonus untuk saya.

“Saya juga tidak takut bersaing dengan ramai artis baru kerana setiap pelakon ada kelebihan masing-masing,” katanya.

Ditanya apa watak diimpikan, pemegang Diploma Teater dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) ini berkata, dia ingin melakonkan watak lebih mencabar selepas ini.

“Saya berharap ada pengarah yang akan menawarkan saya watak pesakit autisme dan wanita jalanan pula selepas ini.

“Saya juga banyak menonton lakonan Nabila Huda yang mampu melakonkan apa saja watak dengan berkesan. Dia idola saya dalam bidang lakonan.

“Jika ada rezeki, saya juga merancang menyambung pengajian dalam bidang lakonan di Indonesia,”katanya.

Selepas drama Cinta Hati Batu, Aishah kini terbabit dengan penggambaran drama Pengantin 100 Hari bergandingan dengan Aiman Hakim untuk Slot Lestary TV3.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2018 @ 1:44 AM