Petaling Jaya: MyTeksi, syarikat permulaan sosial berasaskan keuntungan memperuntukkan RM4.5 juta untuk Program Pemandu Elit terbaru, satu inisiatif yang bertujuan untuk mempertingkatkan kebajikan pemandunya.

Pengurus Besarnya, Jaygan Fu berkata, pihaknya komited dalam meningkatkan kebajikan pemandu teksi dan pada masa yang sama menggunakan peluang itu untuk mengiktiraf pemandu yang menunjukkan prestasi terbaik selain memberi ganjaran di atas tahap kerja memberangsangkan yang dicapai.

“Ini sekali gus dapat menebus reputasi para pemandu teksi di negara ini. Secara umum, kita sering mendengar rungutan masyarakat awam terhadap mutu perkhidmatan pemandu teksi dan kekurangan pujian terhadap pencapaian baik perkhidmatan yang diberikan mereka.

“Tidak dinafikan pelanggan seharusnya menjangkakan perkhidmatan yang baik sebagai penanda aras asas perkhidmatan, namun ia juga adalah satu kepentingan bagi kami untuk mengiktiraf pemandu yang berusaha untuk melaksanakan tugas mereka dengan cemerlang,” katanya dalam kenyataan di sini.

Program yang berlangsung sehingga Disember 2015 terbabit akan mempromosi dan memberi ganjaran kepada pemandu MyTeksi yang paling aktif dan memenuhi standard perkhidmatan tertinggi dengan menyediakan manfaat bernilai sehingga RM10,000 setiap bulan termasuk perlindungan insurans, insentif kewangan dan barangan bercetak jenama MyTeksi.

Sehingga kini, aplikasi MyTeksi yang boleh didapati menerusi Google Play, App Store dan BlackBerry World dimuat turun di lebih 4.8 juta peranti pintar di mana 10 tempahan diterima setiap saat. Perkhidmatan MyTeksi membabitkan lebih 91,000 pemandu di enam negara Asia Tenggara – Malaysia, Filipina, Negara Thai, Singapura, Vietnam dan Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 September 2015 @ 6:37 AM