APLIKASI baru Grab.
APLIKASI baru Grab.
Oleh Afiq Hanif


Aplikasi MyTeksi yang kini dikenali sebagai Grab memperkenalkan tiga ciri baru pada aplikasinya yang memberi kesan positif kepada pertumbuhan syarikat aplikasi terbabit di negara ini.

Tiga ciri terbabit termasuk Flash, GrabPay dan GrabWork.

Flash mempamerkan semua jenis kenderaan yang ada di atas jalan raya termasuk teksi atau kenderaan persendirian yang berdekatan dengan anda manakala GrabPay pula membolehkan pengguna memasukkan lebih dari satu kad kredit, pilihan membayar tunai atau menggunakan kad kredit individu lain yang disahkan.

Manakala GrabWork pula membolehkan pengguna mengakses resit berdasarkan tetapan pada aplikasi yang menunjukkan perjalanan anda bertujuan untuk memudahkan tuntutan kerja.

Ketua Pegawai Eksekutif yang juga pengasas bersama, Anthony Tan berkata, Grab baru ini membolehkan jenama terbabit diterima di peringkat antarabangsa.

“Kami bukan lagi sekadar aplikasi menempah teksi, tetapi mengikut negara tertentu, pengguna boleh menempah kenderaan persendirian, motosikal dan lori,” katanya.

Mengulas mengenai peluasan operasi MyTeksi, Tan memaklumkan syarikatnya giat membuat penyelidikan dalam usaha menawarkan antaramuka yang mesra pengguna di Malaysia.

“Setiap negara mempunyai ciri unik tersendiri yang memerlukan fungsi aplikasi berbeza,” katanya menambah,Grab kini mempunyai tiga lokasi penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Seattle, Amerika Syarikat, Beijing, China dan Singapura.

MyTeksi yang berasal dari Malaysia kini beroperasi di Indonesia, Thailand, Vietnam dan Filipina yang mendapat sambutan di luar dugaan sehingga membolehkannya diiktiraf antara syarikat pemula Asia paling berkembang di dunia.

Aplikasi MyTeksi memulakan operasinya Jun 2012 dan ia terus menjadi tumpuan sebagai aplikasi paling meningkat di Malaysia dan Asia Tenggara. Ia kemudian memperluaskannya kepada tempahan kenderaan persendirian dikenali GrabCar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Februari 2016 @ 5:01 AM