ANTARA barangan yang dijual dalam kempen #GrabitBeatit untuk disumbangkan kepada BCWA.
ANTARA barangan yang dijual dalam kempen #GrabitBeatit untuk disumbangkan kepada BCWA.

Meskipun tahu kanser payudara boleh mengancam nyawa, namun masih ada wanita yang tidak begitu endah mengenai kepentingan pemeriksaan sendiri di rumah. Malah, mungkin ada yang tidak tahu atau tidak pernah melakukan pemeriksaan terhadap payudara sendiri.

Menyedari masih wujudnya kumpulan inilah yang menggerakkan semangat pelbagai pertubuhan untuk terus mengadakan kempen kesedaran kanser payudara. GrabCar, perkhidmatan kereta dengan pemandu berasaskan aplikasi yang dijana aplikasi mudah alih MyTeksi, turut melancarkan kempen #GrabitBeatit, bagi meningkatkan kesedaran dan mendidik wanita kepentingan melakukan pemeriksaan payudara sendiri dan pengesanan awal kanser payudara.

Sepanjang kempen selama sebulan ini, GrabCar akan menjual kemeja-T edisi terhad rekaan jenama Pestle and Mortar bagi mengumpulkan dana dan menyokong Kesatuan Kebajikan Kanser Payudara (BCWA) untuk membolehkannya menjalankan pelbagai aktiviti termasuk menyediakan pemeriksaan payudara secara percuma.

Menurut jurucakapnya, kempen #GrabitBeatit ini untuk menggalakkan wanita supaya memberi keutamaan kepada kesihatan dan keselamatan diri sendiri terutama dalam soal pencegahan. Malah, diharapkan supaya wanita sedar pentingnya pengesanan awal untuk kanser payudara supaya dapat mendapatkan rawatan sewajarnya dan boleh meneruskan hidup sebaik mungkin.

Jika dikesan awal dan mendapat rawatan sewajarnya, peluang untuk sembuh amat tinggi. Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), setiap tahun kanser payudara mengorbankan lebih 500,000 wanita di seluruh dunia.

Di negara membangun dan miskin, kebanyakan kes kanser payudara lambat dikesan dan biasanya penyakit sudah mara ke peringkat teruk apabila mereka berjumpa doktor. Ini menyebabkan kadar jangka hayat dalam tempoh lima tahun selepas rawatan agak rendah iaitu antara 10 hingga 40 peratus saja. Jika dikesan awal dan mendapatkan rawatan sewajarnya, kadar jangka hayat ini boleh mencecah 80 peratus.

Presiden BCWA Prof Dr Zaharah Aiyub berkata, pengesanan awal boleh menyelamatkan nyawa. Jika dikesan awal kanser payudara bukan saja lebih mudah dirawat, malah kos perubatan juga lebih rendah.

Antara personaliti terkenal yang turut menyokong kempen ini termasuk Datin Paduka Marina Mahathir, Freda Liu (BFM), Fuad (Kyoto Protocol), Isabel Taye (penyampai Capital FM), Melinda Looi, Chef Nik Michael Imran, Jinny Boy, Grim Film’s Jared Lee, Patricia K, Lexie Rodriguez, Daphne Iking, Arnold Loh (penyampai Hitz.fm), Christy Ng, Abby Latif (WomenGirl’s) dan bekas pesakit kanser payudara, Sham Van Boonstra.

Bagi menggalakkan saringan awal, GrabCar menawarkan diskaun untuk perjalanan ke-15 klinik yang mengambil bahagian dalam kempen ini dari 12 hingga 31 Oktober. Penumpang wanita boleh menggunakan kod promosi ‘BRABITBEATIT’ apabila membuat tempahan GrabCar menerusi aplikasi MyTeksi.

Antara aktiviti #GrabitBeatit yang akan dijalankan sepanjang bulan ini termasuklah khidmat teksi dengan diskaun tambang sehingga RM5 ke klinik saringan kanser payudara (lihat senarai klinik menerusi http://grabtaxi.com/myteksi/grabitbeatit/) dan trak bergerak yang menyediakan perkhidmatan pemeriksaan percuma pada 14 Oktober. Senarai lokasi trak akan dipaparkan di media sosial GrabTaxi dan laman web http://grabtaxi.com/myteksi/grabitbeatit/.

Selain itu pertandingan mengambil gambar selfie juga diadakan. Anda hanya perlu mengambil gambar mereka memakai kemeja-T #GrabitBeatit sebagai tanda sokongan terhadap kempen ini.

Bahkan anda juga boleh belajar cara untuk melakukan pemeriksaan pada payudara sendiri dengan melayari http://www.facebook.com/GrabTaxiSG.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Oktober 2015 @ 9:25 AM