TAN memperkenalkan logo baru Grab, semalam.
TAN memperkenalkan logo baru Grab, semalam.
Daripada Afiq Hanif di Singapura


Aplikasi MyTeksi akan ditukar kepada Grab selari dengan peluasan syarikat aplikasi pengangkutan popular terbabit ke Asia Tenggara.

MyTeksi yang berasal dari Malaysia kini beroperasi di Indonesia, Thailand, Vietnam dan Filipina yang mendapat sambutan di luar dugaan sehingga membolehkannya diiktiraf antara syarikat pemula Asia paling berkembang di dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif yang juga pengasas bersama, Anthony Tan berkata, Grab membolehkan jenama terbabit diterima di peringkat antarabangsa.

“Kami bukan lagi sekadar aplikasi menempah teksi, tetapi mengikut negara tertentu, pengguna boleh menempah kenderaan persendirian, motosikal dan lori,” katanya selepas pelancaran logo baru Grab, di sini, semalam.

Mengulas mengenai peluasan operasi MyTeksi, Tan memaklumkan syarikatnya giat membuat penyelidikan dalam usaha menawarkan antaramuka yang mesra pengguna di Malaysia.

“Setiap negara mempunyai ciri unik tersendiri yang memerlukan fungsi aplikasi berbeza,” katanya menambah, Grab kini mempunyai tiga lokasi penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Seattle, Amerika Syarikat, Beijing, China dan Singapura.

Aplikasi MyTeksi memulakan operasinya Jun 2012 dan ia terus menjadi tumpuan sebagai aplikasi paling meningkat di Malaysia dan Asia Tenggara. Ia kemudian memperluaskannya kepada tempahan kenderaan persendirian dikenali GrabCar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 January 2016 @ 6:48 AM