APLIKASI MyTeksi semakin popular.
APLIKASI MyTeksi semakin popular.
Oleh Afiq Hanif

MyTeksi atau dikenali sebagai Grabtaxi antara aplikasi telefon pintar bagi menempah teksi popular yang terbesar di Asia Tenggara.

Terbaru, sebuah syarikat teknologi antarabangsa yang popular, SoftBank Corp (SoftBank) bersetuju melabur kira-kira RM850 juta sekali gus menjadikannya pelabur terbesar dalam GrabTaxi Holdings Pte Ltd yang mengusahakan MyTeksi.

Ia bermakna, pembiayaan terbabit membolehkan peluasan perniagaan syarikat teknologi maklumat (IT) tempatan yang berjaya membuka mata pemodal luar negara.

Naib Pengerusi SoftBank, Nikesh Arora berkata, dalam dua tahun kebelakangan ini, GrabTaxi menjadi pemain yang dominan dalam industri tempahan teksi mudah alih di Asia Tenggara.

"Ia membuka mata kami untuk melabur dan bekerjasama dengan pasukan Grabtaxi yang berbakat dan menyokong peluasannya di rantau ini," katanya.

Dilancarkan pada 2012, GrabTaxi kini beroperasi di 17 bandar di enam negara di Asia Tenggara termasuk Malaysia, Filipina, Thailand, Singapura, Vietnam dan Indonesia.

Menerusi pelaburan strategik dan perkongsian dengan GrabTaxi ini, SoftBank turut mensasarkan untuk mengukuhkan kehadiran mereka di Asia Tenggara dan memaksimumkan keupayaan dengan rangkaian syarikat Internet di seluruh dunia.

Pengasas Kumpulan Grabtaxi, Anthony Tan berkata, syarikatnya akan memanfaatkan kepakaran SoftBank melangkaui platform mudah alih dan Internet untuk memacu pertumbuhannya.

"Pusingan baru dana akan memacu misi kami untuk merevolusikan dan menambah baik cara masyarakat Asia Tenggara bergerak secara lebih agresif berbanding sebelum ini," jelasnya.

Dengan keseluruhan pelaburan sejak 14 bulan lepas berjumlah kira-kira AS$1.2 bilion, GrabTaxi kini mendahului industri di rantau ini dari aspek perolehan dan pertumbuhan syarikat.

Meskipun mendapat saingan sengit di pasaran Asia Tenggara tahun lalu, GrabTaxi terus mendominasi pasaran rantau ini dan mengekalkan sokongan padu dari segi rangkaian pemandu teksi dan pindah turun aplikasi mudah alih.

Setakat ini, ia mempunyai 500,000 pengguna aktif dan 2.5 juta pindah turun aplikasi mudah alih.

Sementara itu, Naib Presiden Kumpulan GrabTaxi, Cheryl Goh berkata, syarikat akan terus fokus kepada pertumbuhan dan melabur dalam pemasaran untuk memajukan peluasan yang pantas di Asia Tenggara.

"Disebabkan fokus yang kukuh kepada GrabTaxi di rantau ini, setiap dari enam pasaran GrabTaxi akan memperoleh sejumlah dana bagi operasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Disember 2014 @ 5:01 AM