SEORANG militan Houthi melintas di depan lukisan mural dilukiskan aktivis propemberontak di kedutaan Arab Saudi, Sanaa.
SEORANG militan Houthi melintas di depan lukisan mural dilukiskan aktivis propemberontak di kedutaan Arab Saudi, Sanaa.

Aden: Beberapa penyerang bermotosikal menembak mati dua ketua kumpulan pejuang yang setia kepada kerajaan dalam dua kejadian berasingan di sini kelmarin, kata pegawai.

Rasheed Khaled Saif dan Hamdi al-Shutairi adalah pemimpin tentera kumpulan Penentang Selatan, satu gabungan yang berjaya membebaskan Aden dari penguasaan pemberontak Houthi.

Tiada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab atas pembunuhan itu yang berlaku sehari selepas seorang pegawai keselamatan kanan di Aden ditembak mati, Ahad lalu.

Pejuang yang setiap pada Presiden Yaman, Abed Rabbo Mansour Hadi yang kini berlindung di Arab Saudi, berjaya menawan semula Aden pada Julai lalu.

Sejak itu berlaku keompangan kuasa di Aden dengan pejuang al-Qaeda mula masuk ke kejiranan utama dan penyerang tidak dikenali meletupkan pejabat perisikan.

Penduduk di Aden mengadu tiada anggota polis berkawal di jalan raya dan kerajaan Abed Rabbo masih belum kembali ke kawasan itu.

Rancangan untuk menubuhkan satu pentadbiran sementara sehingga kini tergendala akibat kekacauan yang masih berlaku.

“Peperangan dengan Houthi sudah berakhir tetapi kami bimbang dengan kejadian pembunuhan ini.

“Terdapat masalah keselamatan dan penduduk berharap pentadbiran dapat dibentuk bagi membolehkan polis dihantar untuk mengawal keadaan,” kata penduduk Mohammed Ahmed Salem.

Pemberontak Houthi menawan Sanaa pada September 2014 sebelum menguasai sebahagian besar negara itu. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2015 @ 11:06 AM