SEORANG lelaki Yaman dibawa ke hospital selepas cedera dalam pertempuran di Taez, semalam.
SEORANG lelaki Yaman dibawa ke hospital selepas cedera dalam pertempuran di Taez, semalam.

Aden: Pertempuran sengit semalam antara pemberontak Houthi dengan tentera prokerajaan di bandar ketiga terbesar Yaman menyebabkan puluhan orang terbunuh dan cedera.

Pertempuran berlaku sehari selepas seorang pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, cadangan sidang damai untuk menamatkan konflik bersenjata di negara itu ditunda.

Saksi berkata, pertempuran di beberapa daerah di wilayah Taez mencetuskan panik dalam kalangan penduduk.

Ia mula meletus kelmarin dan bertambah sengit menjelang malam hingga pagi semalam.

Pegawai tempatan berkata, sekurang-kurangnya 30 pemberontak Houthi dan tentera kerajaan terbunuh.

Penduduk pula mendakwa, pemberontak dan sekutu mereka membedil roket dan kereta kebal dengan menyasarkan kediaman.

“Pembunuhan beramai-ramai berlaku di Taez, bandar yang mengetuai revolusi menggulingkan Presiden Ali Abdullah Saleh pada 2012. Ali kini bersekutu dengan pemberontak untuk membalas dendam,” kata penduduk, Bassam al-Qadhi.

Di wilayah Daleh, pejuang yang menyokong kerajaan Presiden Abed Rabbo Mansour al-Hadi dilapor menawan beberapa kedudukan daripada pemberontak, termasuk sebuah kem tentera selepas pertempuran awal pagi.

Pertempuran juga dilapor berlaku di wilayah lain di selatan Yaman, termasuk Aden, Shabwa dan Abyan. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2015 @ 7:23 AM