Oleh Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Skuad berbasikal lebuh raya negara terus membuktikan zaman “gelap” sudah berakhir apabila mengungguli Kejohanan Asia Tenggara Speedway di Singapura, kelmarin.

Malaysia membariskan pemenang pingat emas Sukan SEA Mohd Harrif Saleh, Adiq Husainie Othman (gambar), Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi dan Saiful Anuar Aziz.

Mereka mengungguli perlumbaan yang menggunakan format baru dengan dua pelumba setiap negara akan mengharungi saingan sejauh lima kilometer disusuli dua pelumba lain akan mengharungi jarak yang sama.

Malaysia berjaya mengenepikan cabaran Singapura dan Brunei yang terpaksa berpuas hati dengan perak dan gangsa pada saingan yang membabitkan pasukan Asia Tenggara itu.

Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Naim Mohamad gembira dengan rentak kejayaan yang dipamerkan pelumba negara.

“Skuad negara hadir sebagai pasukan pilihan selepas menjuarai Sukan SEA baru-baru ini. Kita sememangnya mahu memantapkan mereka di rantau ini bagi menghadapi Sukan SEA di Kuala Lumpur nanti.

“Mereka sudah berjaya menebus maruah kita di Sukan SEA Singapura dan kita mahu prestasi itu dikekalkan untuk tempoh setahun setengah ini. Kita mahukan kejayaan dipertahankan di Kuala Lumpur nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2015 @ 7:13 AM