TSG mahu mantapkan latihan bagi memperbaiki kedudukan dalam UCI.
TSG mahu mantapkan latihan bagi memperbaiki kedudukan dalam UCI.
Azlan Muhammad Zain


TERENGGANU Cycling Team (TSG) meletakkan sasaran kembali muncul antara lima pasukan terbaik dalam perlumbaan Jelajah Asia bagi kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) musim depan.

Pasukan berstatus benua dari Terengganu itu mengalami kedudukan terburuk sejak penubuhannya pada 2011 apabila berada di kedudukan ke-12.

“Ia kedudukan terburuk TSG sejak menyertai Jelajah Asia.

“Tahun ini, 50 peratus saingan Jelajah Asia menjurus kepada pendakian, secara tidak langsung perubahan perlu dilakukan bagi menghadapi musim baru,” jelas Ketua Pegawai Operasi (COO) TSG, Nasiruddin Wan Idrus.

Selain mengekalkan bekas pelumba Team Sky, Jeremy Hunt sebagai jurulatih, TSG turut mendapatkan bekas pelumba pasukan Pro Tour dari Dimension Data, Metkel Eyob selain dalam proses mengikat pemenang pingat emas Sukan Asia dari Korea Selatan.

Mereka menggugurkan Dadi Suryadi (Indonesia) dan Gong Hyo Suk (Korea Selatan) selain mengekalkan Maral Batmunkh Erdene (Mongolia), Drew Morey (Australia) dan Goh Soon Huat (Singapura).

Manakala bagi pelumba tempatan, TSG mengekalkan Zamri Salleh, Harrif Salleh, Shahrul Mat Amin dan Nur Amirull Fakhruddin Mazuki dengan Anuar Manan dan Adiq Husainie Othman antara nama yang digugurkan.

Namun menurut Nasiruddin, mereka mengikat pemenang emas Sukan SEA 2017, Irwandie Lakasek (scratch) dan Afiq Huznie Othman (kejar-mengejar berpasukan) dengan kontrak setahun.

“Ketiadaan kejohanan kebangsaan selain tumpuan kepada Sukan SEA sedikit sebanyak menyumbang kepada kedudukan ke-12.

“Namun kami berharap kombinasi baru pelumba mampu mencapai harapan untuk kita kembali antara yang terbaik di Jelajah Asia,” jelasnya.

Sebagai rekod pada 2011, TSG berada di kedudukan keempat disusuli pencapaian tertinggi apabila berada di ranking pertama pada 2012, 2013 (ketiga), 2014 (keenam), 2015 (kesembilan) dan 2016 (kelima).

TSG akan memulakan kem latihan pusat bermula 5 Januari ini di Seremban di bawah kendalian Hunt dengan Tour of Sharjah, Emiriah Arab Bersatu adalah aksi pertama bermula 23 Januari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2017 @ 3:51 PM