AZIZULHASNI Awang,
AZIZULHASNI Awang,
Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Tiada isu boikot terhadap acara tertentu dalam sukan berbasikal di Sukan SEA 2017 apabila Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengumumkan ia mendapat sokongan padu negara Asia Tenggara.

Malaysia, Thailand dan Indonesia adalah tiga negara yang menyertai semua 20 acara dalam trek, lebuh raya dan BMX dengan hanya Timor Leste tidak menghantar sebarang atlet.

Malah menurut Presiden PKBM Datuk Abu Samah Wahab, spekulasi acara keirin yang disertai juara dunia keirin Azizulhasni Awang, akan diboikot turut terlerai apabila sembilan pelumba mengesahkan penyertaan selepas tarikh tutup penyertaan Jumaat lalu.

“Apabila Azizul mengesahkan menyertai keirin pada Sukan SEA, ramai yang membuat tanggapan kononnya ada negara di Asia Tenggara akan memboikot atau melakukan sabotaj.

“Keirin boleh diisytiharkan sebagai tidak sah sekiranya hanya dua negara menyertai acara itu. Sekiranya ini berlaku, peluang Azizul untuk merangkul pingat emas musnah,” katanya.

Turut memberikan perkembangan positif adalah Singapura yang menyertai 18 acara manakala Brunei bersaing dalam 11 acara.

Acara lepas beramai-ramai lelaki paling popular apabila membabitkan 55 pelumba dari 10 negara dengan Malaysia meletakkan sasaran mempertahankan emas yang dimenangi dua tahun lalu.

Ditanya mengenai peluang untuk meraih 13 emas, Abu Samah menegaskan kelebihan bersaing di tempat sendiri pasti memberikan kelebihan kepada pelumba negara dalam merealisasikan sasaran itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2017 @ 5:20 AM