ANUAR (kanan) terkilan  mendapat tahu namanya tidak tersenarai mewakili negara kali ini.
ANUAR (kanan) terkilan mendapat tahu namanya tidak tersenarai mewakili negara kali ini.
Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Keputusan menyenaraikan enam pelumba lebuh raya ke Sukan SEA tahun depan dilakukan sepenuhnya oleh Terengganu Cycling Team (TSG) dan tidak membabitkan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Menurut Naib Presiden PKBM Omar Saad senarai itu diserahkan wakil TSG minggu lalu.

“Bagi acara lepas beramai-ramai dan kriterium, kami sebenarnya menyerahkan kepada TSG untuk menyenaraikan pelumba yang difikirkan layak. Keputusan dilakukan mereka,” katanya.

Senarai enam pelumba yang diumumkan minggu lalu agak mengejutkan apabila pemenang pingat gangsa lepas beramai-ramai Sukan SEA Singapura Anuar Manan antara nama yang tidak disenaraikan ke Sukan SEA tahun depan.

Sebaliknya TSG menyenaraikan enam nama Harrif Saleh, Zamri Saleh, Adiq Husainie Othman, Shahrul Mat Amin, Nur Amirul Fakhruddin Marzuki dan Saiful Anuar Aziz.

Senarai itu serta pelumba ujian masa berpasukan akan dipanjangkan untuk kelulusan mesyuarat bersama Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini bagi diserapkan untuk fasa kedua program Kita Juara.

“Saya juga kurang pasti kenapa tiada dua pelumba pecut disenaraikan (selain Harrif). Anuar turut mempamerkan prestasi yang baik di Singapura.

“Bagaimanapun saya tidak boleh mengulas lanjut kerana senarai ini sudah kita serahkan kepada TSG untuk membuat keputusan. Malah mereka yang paling rapat dengan pelumba sejak dua tahun lalu untuk membuat penilaian,” ujarnya.

Anuar, antara pakar pecut yang digeruni, melahirkan perasaan terkilan dan kecewa apabila mendapat tahu namanya tidak tersenarai mewakili negara kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2016 @ 8:15 AM