Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menafikan dakwaan pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Adiq Husainie Othman kononnya badan induk itu berjanji akan memberi elaun bulanan rentetan kejayaan memenangi pingat emas Sukan SEA 2015 di Singapura.

Presiden PKBM Datuk Abu Samah Wahab menjelaskan mustahil untuk beliau membuat janji seperti itu kepada pelumba kerana tanggungjawab berkenaan adalah dalam bidang kuasa Majlis Sukan Negara (MSN).

“Sebenarnya, elaun dimaksudkan atau dituntut mereka adalah RM1,500 daripada MSN (Majlis Sukan Negara) sekiranya menang pingat di Sukan SEA. Saya berpendapat memang ini hak mereka.

“Untuk itu, PKBM berusaha membawa perkara ini dalam mesyuarat JKK bersama MSN pada 27 Ogos 2015. Bagaimanapun, kami dimaklumkan semua pelumba yang menang emas acara lepas beramai-ramai elit lelaki di Sukan SEA 2015 tidak layak terima elaun bulan itu daripada MSN.

“Antara alasan diberikan MSN adalah kerana mereka termasuk Adiq sendiri tidak berada dalam program latihan penuh bersama pasukan kebangsaan. Malah memang tiada istilah latihan sepenuh masa buat skuad lebuh raya Malaysia sejak 2014,” katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mac 2016 @ 7:57 AM