Oleh Sitie Nurhajatulziemah Mohd Nor

Rembau: Penuntut perempuan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) kampus Alor Gajah, Melaka, dipercayai sesat di Hutan Lipur Gunung Datuk, di sini, selepas mendaki gunung berkenaan kira-kira 12 tengah hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Glausia Galayan, 20, berasal dari Sarawak dan berketuran Iban, dikatakan seorang diri mendaki gunung itu.

Difahamkan, dia yang berjaya sampai ke puncak gunung itu sempat menghubungi rakannya dan memaklumkan dia sesat dan gagal menemui jalan keluar.

Penuntut itu juga dikatakan menghubungi pihak berkuasa untuk meminta bantuan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Norazam Khamis, berkata sepasukan 12 anggota Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, bersama penyelia Gunung Datuk, kakitangan Jabatan Perhutanan, polis dan jurupandu gunung itu menyertai gerakan mencari dan menyelamat mangsa.

Katanya, sehingga 9 malam tadi gerakan mencari masih giat dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 November 2014 @ 10:23 PM