SEBAHAGIAN pendaki diberi bantuan selepas berjaya dibawa turun.
SEBAHAGIAN pendaki diberi bantuan selepas berjaya dibawa turun.

Rembau: Sekumpulan 13 pendaki Gunung Datuk, di sini, yang dilaporkan sesat selepas mendaki gunung itu ditemui dalam keadaan lemah dan kelaparan oleh pasukan mencari dan menyelamat.

Selepas enam jam operasi mencari dan menyelamat dijalankan, 12 penuntut jurusan Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Seremban dan seorang orang awam dibawa turun, jam 1.15 pagi semalam.

Difahamkan, mereka mula mendaki jam 7.30 pagi kelmarin sebelum sesat ketika menuruni Gunung Datuk kira-kira jam 11.30 pagi akibat tersasar dari trek pendakian.

Usaha mencari jalan keluar gagal menyebabkan mereka menghubungi Renjer Hutan dua jam kemudian.

Bertindak atas laporan, operasi mencari dan menyelamat dimulakan jam 6.40 petang kelmarin sebaik mengenal pasti kedudukan kumpulan pelajar itu di laluan Gunung Gagak.

Ketua Polis Daerah Rembau Deputi Superintendan Ibrahim Sharif berkata, kumpulan itu membabitkan 12 penuntut UiTM dan seorang rakan yang turut serta mengikuti aktiviti berkenaan.

Katanya, pasukan mencari dan menyelamat disertai 71 anggota polis, bomba, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Renjer Hutan dan penduduk kampung membabitkan tiga kumpulan.

“Tiga peserta cedera di buku lali dan lutut selain gatal di tangan menerima rawatan awal sejurus dibawa turun ke kaki gunung sebelum dihantar ke Hospital Tampin.

“Seorang peserta terpaksa didukung pasukan penyelamat kerana kecederaan lama di lutut. Bagaimanapun tiada kecederaan serius dilaporkan. Ketika ditemui, semua mangsa dalam keadaan lemah dan kelaparan kerana kehabisan tenaga dan makanan,” katanya ketika ditemui.

Katanya, pihaknya mengalami kesukaran ketika operasi dijalankan kerana hujan menyebabkan laluan trek licin selain keadaan permukaan jalan yang curam,” katanya.

Sementara itu, Rektor UiTM cawangan Seremban Prof Madya Dr Wan Ramlee Wan A Kadir ketika dihubungi berkata, peserta terbabit menjalankan aktiviti secara persendirian bukan di bawah kelolaan akademik atau kelab.

“Saya menasihatkan penuntut yang mahu melakukan aktiviti mendaki mahupun program lain supaya mengikut peraturan yang ditetapkan bagi mengelakkan kejadian sedemikian berlaku,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 November 2014 @ 5:14 AM