Kawalan keselamatan di Bangkok dipertingkat selepas serangan bom yang membunuh 20 orang dan pengawal keselamatan kini memeriksa setiap kenderaan yang memasuki bangunan. - Reuters
Kawalan keselamatan di Bangkok dipertingkat selepas serangan bom yang membunuh 20 orang dan pengawal keselamatan kini memeriksa setiap kenderaan yang memasuki bangunan. - Reuters

Bangkok: Polis Diraja Thailand yakin pihak yang melakukan serangan bom di Bangkok yang membunuh 20 orang mengambil masa lebih sebulan untuk dirancang dan memerlukan lebih 10 orang untuk melaksanakan serangan.

“Serangan itu dilakukan secara berpasukan. Ia memerlukan masa sebulan untuk merancang serangan,” kata Ketua Polis Thailand, Somyot Poompanmoung.

Menegaskan keyakinan lebuh 10 orang terbabit, Somyot berkata pengebom memerlukan beberapa orang untuk meninjau lokasi sasaran, merancang laluan masuk dan keluar serta mendapatkan bom dan membawanya ke tengah Bangkok.

“Saya percaya rangkaian ini mempunyai hubungan dengan orang di Thailand," katanya.

Polis Thailand memburu seorang lelaki dipercayai keturunan Eropah atau Arab berbaju kuning berdasarkan rakaman CCTV di tempat kejadian yang meletakkan beg sandang dipercayai mengandungi bom di Kuil Erawan tidak lama sebelum letupan.

Polis juga sedang mencari dua lelaki yang turut dilihat dalam CCTV berlegar berhampiran lelaki pertama dipercayai melindunginya daripada pandangan orang ramai ketika dia meletakkan beg sandang itu. Mereka meninggalkan tempat kejadian sebelum suspek pertama berlalu dari kuil berkenaan.

Pelbagai spekulasi muncul mengenai motif serangan bom itu serta identiti penyerang. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Ogos 2015 @ 3:52 PM