Agensi

Bangkok: Tiga etnik Uighur yang ditahan bersama-sama puluhan lagi kaum itu kerana memasuki Thailand secara haram disoal oleh polis berhubung kejadian serangan bom di Bangkok yang menyebabkan 20 orang maut, kata polis semalam.

Sebelas hari selepas serangan di Kuil Erawan itu pihak berkuasa masih buntu menjejaki suspek utama yang digambarkan sebagai lelaki warga asing.

Sehingga kini tiada tangkapan dibuat walaupun imej suspek berbaju kuning yang dirakam kamera keselamatan serta lakaran wajahnya diedarkan.

Penganalisis membuat spekulasi kemungkinan militan etnik Uighur yang beragama Islam dari Chna atau pihak yang bersimpati dengan mereka mendalangi serangan itu.

Serangan itu disyaki sebagai membalas dendam selepas Thailand menghantar pulang 100 pelarian berkenaan ke China.

“Polis di wilayah Sa Kaeo menyoal siasat tiga etnik Uighur,” kata ketua polis Thailand, Somyot Poompanmoung tanpa mengulas lanjut.

Sementara itu, waran tangkap dikeluarkan terhadap seorang suspek pengebom sebuah jambatan di sini yang berlaku sehari selepas serangan bom di Kuil Erawan.

Jurucakap polis, Prawut Thawornsiri berkata, mahkamah mengeluarkan waran tangkap berdasarkan rakaman video seorang lelaki berbaju biru menendang begnya ke dalam sungai di jambatan itu pada malam 17 Ogos lalu.

“Kami mengeluarkan waran tangkap terhadap suspek yang mempunyai kaitan dengan serangan bom di jambatan Sathorn, Bangkok,” katanya.

Serangan bom berkenaan tidak menyebabkan sebarang kematian.

Polis bagaimanapun tidak menyatakan dengan jelas sama ada kedua-dua serangan itu mempunyai kaitan.

Bagaimanapun, Prawut berkata, polis kemungkinan tidak mengeluarkan lakaran wajah suspek kerana wajahnya tidak jelas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Ogos 2015 @ 5:14 AM