FIGUEROA (kiri) tekad meledak.
FIGUEROA (kiri) tekad meledak.
Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Johor Darul Ta’zim (Johor DT) tidak boleh merasa terlalu selesa apabila berdepan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam ini.

Situasi itu diakui penyerang import, Luciano Figueroa yang menyifatkan setiap pemain skuad Harimau Selatan termasuk dirinya tidak boleh terlalu selesa kerana masih ada ranjau yang boleh menjadi mimpi ngeri buat mereka jika bersikap sambil lewa.

Katanya, kesungguhan dan keperitan dilalui untuk berada di tangga kedua liga harus diteruskan bagi memburu kejuaraan buat kali kedua dengan semua pemain perlu tenang apabila mengharungi setiap perlawanan.

“Kami tidak anggap ATM pasukan lemah sebaliknya mereka boleh menghukum jika tidak memberi sepenuh tumpuan terhadap perlawanan dan saya percaya rakan sepasukan sudah bersedia untuk memburu kemenangan.

“Sembilan gol yang saya jaringkan setakat ini hasil kerjasama rakan sepasukan. Malah saya optimis semangat berpasukan yang diterapkan menjadikan kami satu keluarga untuk sama-sama berada di puncak atau di bawah.

“Pada aksi menentang ATM malam ini, kemungkinan pergerakan saya akan dirantai dan sokongan rakan sepasukan amat diperlukan untuk memberi tekanan terhadap pertahanan lawan,” katanya.

Pada aksi menentang Sime Darby FC, Figueroa menunjukkan prestasi membanggakan selepas meledak dua gol bagi memastikan Johor DT menang besar 4-0 dan rentak kemenangan itu ingin diteruskan untuk berada di landasan terbaik mempertahankan kejuaraan liga.

Justeru, Figueroa menyifatkan pertembungan menentang ATM tidak boleh dianggap mudah sebaliknya berharap rakan sepasukan lebih berhati-hati.

“Kita sudah hampir menamatkan saingan liga dan sewajarnya rentak konsisten sentiasa dikekalkan walaupun saya akui setiap kali turun ke padang perasaan resah tetap ada.

“Apapun sebagai pemain, ada tanggungjawab yang perlu dipikul. Seharusnya saya dan rakan sepasukan tidak boleh membuat silap dan beraksi dengan semangat juang tinggi untuk memburu tiga mata,” kata Figueroa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Ogos 2015 @ 5:17 AM