AIDIL (kiri) tidak beraksi pada final Piala Malaysia tahun lalu akibat penggantungan.
AIDIL (kiri) tidak beraksi pada final Piala Malaysia tahun lalu akibat penggantungan.
Oleh Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Terlepas aksi final musim lalu akibat penggantungan amat memeritkan buat Aidil Zafuan Radzak yang bertekad mahu beraksi bermati-matian bagi membantu Johor Darul Ta’zim (Johor DT) layak kali kedua berturut-turut ke final Piala Malaysia musim ini.

Mungkin terlalu awal untuk memikirkan pemburuan ke pentas final kerana perlu mengharungi kempen Kumpulan B yang bermula Jumaat ini namun tekad itu tersemat di sanubari Aidil yang berazam membantu Johor DT menjulang kejuaraan piala berprestij itu buat julung kali.

Apa pun, dia mengakui Perak, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Sarawak bukan calang-calang pasukan. Ketiga-tiga pasukan itu akan menampilkan kelainan pada saingan yang memberi peluang terakhir kepada 16 pasukan memburu piala pada kancah Liga Malaysia (Liga M).

“Kami akan memulakan kempen Piala Malaysia menentang Perak di laman sendiri dan ia tugas getir walaupun pernah menewaskan pasukan itu 4-1 pada saingan liga namun saya dan rakan sepasukan akan waspada ketika turun menentang Perak.

“Bukan saja Perak malah ATM dan Sarawak juga boleh meranapkan impian kami memburu tempat ke suku akhir jika mengambil sikap sambil lewa.

“Saya agak terkilan tidak dapat beraksi pada pentas final akibat penggantungan musim lalu dan mahu menebus kehampaan itu dengan berusaha sedaya upaya untuk Johor DT beraksi pada final kali kedua berturut-turut,” katanya.

Aidil menegaskan selepas mengekalkan kejuaraan Liga Super dua musim berturut-turut, kini tumpuan beralih kepada saingan Piala Malaysia dan menyifatkan Kumpulan B cukup kompetitif.

“Kami perlu mengelak daripada melakukan kesilapan malah pada aksi pertama berdepan Perak, saya dan rakan sepasukan akan berusaha memastikan rekod tanpa kalah Johor DT di laman sendiri tidak tercalar,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2015 @ 8:00 AM