FIGUEROA sudah kembali cergas.
FIGUEROA sudah kembali cergas.
Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: “Saya mahu Lucho (Luciano Figueroa) kembali dengan sentuhan berbisa seperti musim lalu.” Itu pendirian ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Bojan Hodak yang menganggap tidak ada keperluan untuknya menukar pemain import baru jika Figueroa tidak mengalami kecederaan berulang dan kembali cergas mengharungi kempen Liga Super.

Malah, pengendali dari Croatia itu menuntut bekas pemain Panathiakos FC berkenaan supaya bangkit selepas pulih daripada kecederaan sekali gus mempamer aksi terbaik apabila berdepan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Larkin, 4 April ini.

Musim lalu, Figueroa muncul penjaring kedua terbanyak Liga Super selepas meledak 14 gol dan anugerah Kasut Emas diraih bekas pemain Selangor Paolo Rangel yang kini beraksi untuk Terengganu.

“Jentera serangan Johor DT akan kembali menyengat selepas Luciano pulih daripada kecederaan dan saya yakin dia tidak menghadapi masalah untuk cergas sepenuhnya sebelum aksi menentang ATM, nanti.

“Walau apapun saya mahu dia buktikan betapa kelibatnya masih berbisa dan bekerja keras sepanjang sesi latihan untuk kekal dalam skuad utama kerana kami amat memerlukan penyerang yang mampu menjaringkan gol.

“Saya lihat Luciano begitu semangat menjalani latihan dan apa yang perlu dia lakukan lebih kepada kembali mendapat sentuhan penyudah kerana itu masalah yang dihadapi Johor DT pada beberapa aksi lalu,” katanya.

Hodak juga menegaskan Patricio Rodriguez yang memulakan latihan bersama Johor DT sudah melepasi ujian kecergasan dan kini memulakan latihan bersama skuad itu bagi mengharungi kempen Liga Super.

Bagaimanapun, beliau menegaskan khidmat Rodriguez pada saingan Piala AFC tidak dapat digunakan dalam baki tiga perlawanan pusingan kedua Kumpulan F berikutan ketetapan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

“Patricio tidak boleh beraksi bersama Johor DT pada baki tiga perlawanan memandangkan peraturan jendela perpindahan AFC hanya dibuka pada bulan Jun dan dia hanya boleh beraksi seandainya kita layak ke pusingan 16 pasukan.

“Namun saya agak lega kerana selain Luciano yang pulih daripada kecederaan, pemain tengah Shakir Shaari dan Aidil Zafuan Abd Radzak sudah mula menjalani latihan dan bakal beraksi dalam skuad,” kata Hodak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2015 @ 8:19 AM