LUCIANO FIGUEROA
LUCIANO FIGUEROA
Rizar Mohd Noor


USIA bukan penghalang buat pemain import Johor Darul Ta’zim (JDT), Luciano Figueroa untuk terus memberi sumbangan kepada pasukannya itu bagi mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga M) pada musim depan.

Sinonim dengan panggilasn Lucho dikalangan rakan sepasukan, dia yang kini berusia 36 tahun tampak masih gagah menjalani latihan di bawah kendalian Ulisses Morais termasuk mampu menyerap latihan keras sejak tiga hari lalu.

Bagi Figueroa untuk menjadi pemain yang sentiasa berada dalam keadaan fikizal yang mantap seharusnya perlu ada disiplin terhadap diri sendiri dan bersedia berlatih dengan latihan agresif bagi meningkatkan kecergasan dan kekuatan mental.

“Apa ada pada usia jika keringat masih bertenaga kerana usia adalah sekadar nombor saja. Jika ada kesungguhan dan disiplin tinggi tidak mustahil untuk beraksi dalam kancah Liga M dan menyumbang untuk pasukan.

“Sepanjang saya bercuti di Argentina sebelum kembali berlatih bersama JDT, saya sendiri membuat latihan di bawah kendalian jurulatih fizikal untuk memantapkan kecergasan.

“Dan ia berhasil apabila tidak berdepan masalah untuk menyambung latihan sebaik tiba ke Johor Bahru.

“Kita tahu JDT mempunyai falsafah tersendiri iaitu sentiasa konsisten dan memberi persembahan berkualiti tidak kira semasa latihan dan perlawanan sebenar dan itu yang menjadi pegangan saya bagi membantu pasukan mengecapi kejayaan dalam saingan musim depan,” katanya.

Figueroa yang amat teruja kerana bakal bergandingan semula dengan Jorge Pereyra Diaz menjanjikan aksi terbaik bagi memastikan skuad Harimau Selatan berada di landasan tepat mempertahankan kejuaraan pada musim depan.

Katanya, aksi pramusim di Bangkok, amat penting untuk membentuk persefahaman yang lebih mantap selepas kali terakhir dia dan Diaz berganding pada musim 2015 dan pasti mahu lebih digeruni apabila beraksi pada musim depan.

“Kita akan memulakan aksi pada pusingan kedua Kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) menentang Muangthong United FC. Aksi persahabatan menentang kelab dari Thailand nanti sekurang-kurang dapat memahami corak permainan kelab dari sana.

“Apa pun saya menyifatkan JDT adalah pasukan terbaik di Malaysia dan pastinya akan berusaha memberi persembahan mantap dalam saingan peringkat Asia dan menjadi idaman buat saya beraksi di peringkat kumpulan pada saingan ACL (Liga Juara-Juara Asia,” kata Figueroa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2017 @ 3:13 PM