Oleh Ibrahim Isa


Muar: Dua sahabat dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini selepas didapati bersalah memiliki dadah jenis Methaphetamine, Nimetazepam dan campuran dadah Heroin dan Monoacetylmorphines pada November 2011.

Hakim Mahkamah Tinggi, Zainal Azman Ab Aziz, menjatuhkan hukuman itu selepas kedua-dua tertuduh lelaki dan wanita itu gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh wanita, Lau Fong Yee, 40, didakwa memiliki dadah jenis Methapetamine dan Nimetazepam, masing-masing seberat 5.88 gram dan 0.04 gram.

Fong Yee didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A (1) akta sama.

Bagi pertuduhan ketiga, Fong Yee bersama rakan lelaki, Ng Peng Seng, 49, didakwa mengedar dadah berbahaya campuran Heroin dan Monoacetylmorphines seberat 381.02 gram di Kilometer 160 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Selatan berhampiran Tangkak.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2015 @ 2:43 PM