LIMA ahli sindiket dadah termasuk ketua sindiket dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas dua pertuduhan terlibat kegiatan pengedaran dadah. FOTO Omar Ahmad
LIMA ahli sindiket dadah termasuk ketua sindiket dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas dua pertuduhan terlibat kegiatan pengedaran dadah. FOTO Omar Ahmad
Omar Ahmad

Johor Bahru: Ketua sindiket bersama ibunya dan tiga lagi rakan didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru di sini, tadi, atas pertuduhan terbabit kegiatan pengedaran dadah di Taman Larkin Idaman di sini, dua minggu lalu.

Tertuduh, Wang Cheng Wei, 41, ibunya, Ah Yee Hwa, 62, serta rakan, Chan Siew Han, 60, bersama pasangan suami isteri, Tay Khai Seng, 34, dan Yup Zun Jin, 28, mengangguk faham ketika dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin.

Mengikut pertuduhan pertama, mereka secara bersama didakwa mengedar dadah jenis Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dengan anggaran kasar 16,473 gram (16.47 kilogram) di sebuah pangsapuri Jalan Idaman Utama, Taman Larkin Idaman di sini, pada jam 5.30 pagi, 10 Januari lalu.

Bagi pertuduhan kedua, kelima-limanya didakwa mengedar dadah ganja seberat 7,760 gram (7.76 kilogram) di tempat dan waktu sama.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, kelima-lima mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (A) dan Seksyen 39B(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Chei Wei yang turut berhadapan tiga lagi pertuduhan, mengaku bersalah iaitu memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 1.77 gram, nimetazepam seberat 0.59 gram dan ganja 4.93 gram.

Bagi tiga pertuduhan itu dia didakwa mengikut Seksyen 12 (2) dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqillah Ahmad Rofaei.

Mahkamah menetapkan 23 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu keputusan laporan kimia dan tiada jaminan diberikan.

Pada 17 Januari lalu, Polis Johor menumpaskan kegiatan pengedaran dadah didalangi dua beranak, apabila menahan tiga individu dalam tiga serbuan berasingan di sekitar bandar raya ini serta Iskandar Puteri mulai 10 hingga 14 Januari lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kesemua suspek itu ditahan sekitar jam 5.30 pagi pada 10 Januari lalu bersama sejumlah rampasan dadah.

Menurutnya, operasi itu, pihak polis berjaya membuat rampasan dadah bernilai RM1.23 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2024 @ 2:32 PM