Muar: Seorang lelaki dan seorang perempuan dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam apabila didapati bersalah mengedar dadah jenis heroin dan monoacetylmorpines seberat 381.02 gram pada 29 November 2011.

Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Ng Peng Seng, 49, dan Lau Fong Yee, 40.

Kedua-dua tertuduh yang berasal dari Batu Pahat, dituduh bersama-sama mengedar dadah seberat 381.02 gram (campuran 283.92 gram heroin dan 97.10 gram monoacetylmorpines) pada jam 3.45 petang 29 November 2011 di Kilometer 160, arah Selatan, Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Tangkak, Ledang.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca mengikut Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Lau yang juga tertuduh pertama didakwa dengan dua pertuduhan lain, turut dijatuhi hukuman penjara tiga tahun bagi pertuduhan pertama dan dua tahun bagi pertuduhan kedua dengan Zainal Azman memerintahkan kedua-dua hukuman berjalan serentak bermula tarikh dia ditahan.

Bagi pertuduhan pertama, Lau didapati memiliki 5.88 gram methamphetamine dan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(1) akta sama, ketika berada di Balai Polis Yong Peng, Batu Pahat, pada jam 4.30 petang tarikh sama.

Bagi pertuduhan kedua pula, Lau didakwa memiliki dadah jenis nimetazepam seberat 0.04 gram dan didapati bersalah mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(2) akta sama, pada tarikh, tempat dan masa sama.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zairani Tugiran, manakala Lau diwakili peguam, Azmi Ahmad Bakri, dan Ng diwakili peguam, G Visvanathan Nair.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2015 @ 10:19 AM